X
Jumaat, 26 Julai 2019 | 11:28am
Kerja pembersihan dilakukan di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Kuantan. - Ihsan MPK
Kerja pembersihan dilakukan di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Kuantan. - Ihsan MPK
Kerja pembersihan dilakukan di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Kuantan. - Ihsan MPK
Kerja pembersihan dilakukan di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Kuantan. - Ihsan MPK

RM360,000 diperuntukkan tambah baik TSK

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memerlukan kira-kira RM360,000 bagi kerja naik taraf Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal, berkata peruntukan itu, antara lain, adalah bagi kerja penyelenggaraan pendingin hawa dan baik pulih tandas.

“Untuk kerja naik taraf TSK, kita perlukan kira-kira RM200,000 bagi memperbaiki eskalator, RM80,000 untuk penyelenggaraan pendingin hawa dan bagi kerja memperbaiki tandas awam pula, kita anggarkan sejumlah RM80,000 diperlukan.

“Bagi kerja naik taraf pendingin hawa dan tandas awam, kita harap ia dapat dilaksanakan bulan depan dan permohonan peruntukan kerja penyelenggaraan eskalator pula sudah dikemukakan kepada pejabat ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Norkamawati berkata pihaknya juga sedang melakukan penggantian permaidani surau bagi menambah keselesaan pengguna TSK.

Katanya, orang ramai dan pengguna TSK perlu memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan terminal itu, terutama kebersihan tandas awam dan tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab menjaga kawasan berkenaan kepada MPK semata-mata.

“Kalau boleh, semua pihak ambil berat mengenai aspek kebersihan dan keselamatan di kawasan TSK... elakkan daripada melakukan perkara seperti vandalisme serta membuang sampah dengan tidak bertanggungjawab.

“Kalau kemudahan disediakan rosak, sudah pasti pengguna tidak selesa lebih paling teruk, ia menjejaskan imej bandar Kuantan dan negeri Pahang memandangkan TSK adalah antara pintu utama digunakan pelancong berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Berita Harian X