Khamis, 18 Julai 2019 | 2:26pm
LEBIH 300 peserta daripada 25 agensi kerajaan membersih kawasan penduduk Orang Asli suku Batek pada Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Kuala Koh. - Foto Ramli Ibrahim
LEBIH 300 peserta daripada 25 agensi kerajaan membersih kawasan penduduk Orang Asli suku Batek pada Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Kuala Koh. - Foto Ramli Ibrahim

300 peserta bersih Kuala Koh

GUA MUSANG: Lebih 300 peserta daripada 25 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan membersihkan perkampungan Orang Asli suku Batek, Kuala Koh, di sini berikutan kampung itu diserang wabak demam campak.

Program gotong-royong perdana yang julung kali diadakan selepas kampung itu bebas daripada zon merah pada 8 Julai lalu, diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Timbalan Perdana Menteri bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).


LEBIH 300 peserta daripada 25 agensi kerajaan membersih kawasan penduduk Orang Asli suku Batek pada Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Kuala Koh. - Foto Ramli Ibrahim

Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pelaksanaan Operasi NADMA, Zakaria Shaaban, berkata aktiviti gotong-royong selama lima jam bermula jam 9 pagi tadi.

“Aktiviti gotong-royong yang diadakan ini bukan menggambarkan Kuala Koh kotor sangat, tetapi simbolik kepada kemuafakatan semua pihak bersama Orang Asli.

“Kita melihat perkara ini perlu bagi agensi kerajaan terbabit memantau secara berterusan berhubung kebersihan kampung ini bagi mengelakkan tragedi jangkitan demam campak berulang.

“Kita yakin jika masalah itu dapat ditangani dengan berkesan, ia dapat menyelamat kaum berkenaan daripada sebarang jangkitan penyakit berjangkit,” katanya kepada pemberita pada Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Kuala Koh, di sini, hari ini.

Sejak awal Mei lalu, seramai 15 Orang Asli suku Batek Kuala Koh meninggal dunia kerana jangkitan demam campak manakala 112 lagi menerima rawatan di hospital berhampiran.

Berikutan penularan penyakit itu, kampung terbabit diletakkan dalam kawasan zon merah sebelum dibebas semula pada 8 Julai lalu.

Bagaimanapun ada pesakit yang keluar hospital terpaksa di kuarintin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani Gua Musang.

Zakaria berkata, buat masa ini, telaga tiub sudah siap dibina bagi kemudahan air bersih untuk jangka panjang penduduk kampung itu.

“Kemudahan telaga tiub itu sudah siap dilakukan, cuma sekarang ini di peringkat ujian kualiti air sebelum dapat digunakan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid, berkata aktiviti gotong-royong itu diadakan untuk memberi semangat semula kepada penduduk Orang Asli.

Katanya, gotong-royong itu juga diadakan sebelum 163 pesakit yang dikuarintin di PPS Entobotani dibenarkan pulang dalam masa terdekat ini.

“Kita terharu dengan kerjasama dan sambutan pelbagai pihak untuk bersama membersihkan perkampungan Orang Asli Kuala Koh,” katanya.

Berita Harian X