Ahad, 14 Julai 2019 | 7:04pm
Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh (tengah) dan Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ), Dr Mohd Muhaimin Kambli (tiga dari kanan) bersama 76 penderma darah yang memperolehi kad penderma darah pada majlis Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri di Auditorium HSNZ. - Foto Baharom Bakar
Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh (tengah) dan Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ), Dr Mohd Muhaimin Kambli (tiga dari kanan) bersama 76 penderma darah yang memperolehi kad penderma darah pada majlis Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri di Auditorium HSNZ. - Foto Baharom Bakar

Derma darah melebihi 50 kali percuma wad kelas satu

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Tabung Darah Negara menyediakan wad kelas pertama selama 10 tahun dan wad kelas dua percuma seumur hidup kepada penderma darah yang menderma melebihi 50 kali.

Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Mohd Muhaimin Kambli, berkata inisiatif bagi menggalakkan orang ramai untuk menderma darah itu diperkenalkan KKM sejak 2005.

Bagaimanapun, katanya kurang pendedahan mengenai keistimewaan berkenaan menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan darah seperti dialami hospital di beberapa negeri.

Katanya, pendedahan pelbagai inisiatif ditawarkan KKM dilakukan Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kepada masyarakat berkesan apabila semua hospital di negeri ini tidak berdepan dengan masalah kekurangan darah termasuk sepanjang Ramadan.

“Sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri lalu, sebanyak 100 unit darah hasil sumbangan rakyat di negeri ini kita salurkan kepada beberapa negeri yang mengalami masalah kekurangan bekalan darah yang kritikal.

“Hasil kempen berterusan termasuk mendedahkan pelbagai inisiatif disediakan KKM, berlaku peningkatan sebanyak 6.37 peratus jumlah penderma apabila sebanyak 21,376 unit darah berjaya diperoleh tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat kepada Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh yang mengadakan lawatan dan meninjau kemudahan di Unit Transfusi Darah HSNZ, di sini, hari ini.

Antara kemudahan disediakan di pusat Unit Transfusi Darah HSNZ bertujuan memberi keselesaan kepada penderma darah ialah televisyen LCD bersaiz 40 inci, surau dan ruang tamu.

Dr Mohd Muhaimin berkata, program kempen derma darah selepas solat sunat tarawih yang pertama kali diadakan di 32 masjid dan surau di seluruh negeri Ramadan lalu juga mendapat sambutan apabila 1,300 unit darah diperoleh hasil sumbangan masyarakat Islam.

“Kejayaan kempen derma darah sepanjang bulan Ramadan menarik minat beberapa hospital di seluruh negara apabila mereka menghantar pegawai untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Mengenai inisiatif kad penderma darah diperkenalkan Unit Transfusi Darah HSNZ, Dr Mohd Muhaimin berkata, kad itu diperkenalkan selepas dicadangkan beberapa penderma darah yang menderma melebihi 50 kali dan seramai 96 orang sudah memilik kad itu.

Katanya, kad penderma darah yang julung kali diperkenalkan adalah projek percubaan dan hanya boleh digunakan di hospital di seluruh negeri ini, tetapi akan diperluaskan di seluruh negara selepas beberapa penambahbaikan dilakukan.

“Kita sedang berusaha dan cuba untuk berkolaborasi dengan beberapa syarikat termasuk pemilik pasar raya dan sektor perhotelan untuk kemudahan kepada pemegang kad penderma darah,” katanya.

Berita Harian X