Ahad, 14 Julai 2019 | 3:40pm
Semporna sering menjadi pilihan penyelam. - Foto hiasan

Banteras operator pelancongan haram atau hilang pelancong

KOTA KINABALU: Badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan yang berpangkalan di Semporna menggesa pengurusan jeti pelancongan dan pusat informasi ‘menutup pintu’ untuk operator yang tidak berlesen.

NGO berkenaan berpendapat, industri pelancongan di Semporna mungkin akan kehilangan pelancong asing terutama dari China jika tiada peraturan bagi membendung kegiatan pengendali haram.

Pengerusi Persatuan Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna, Kerino Jalani, berkata awal tahun ini, ada sesi taklimat dianjurkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Pejabat Daerah, Taman-Taman Sabah serta pihak berkuasa berhubung kegiatan itu.

Katanya, walaupun keputusan dibuat untuk tidak membenarkan pengendali pakej pelancongan tanpa lesen menggunakan kemudahan berkenaan, namun ia tidak pernah dikuatkuasakan.

“Sejak keputusan itu dibuat sehinggalah ke hari ini, perkara itu tidak pernah dipatuhi atau dikuatkuasakan.

“Sekiranya perkara ini diambil perhatian, saya percaya banyak kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penyelam Profesional Semporna, Abdul Razak Ismail turut menyuarakan nada sama berhubung kegiatan pengendali tanpa lesen.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, wujud beberapa insiden membabitkan syarikat pelancongan tanpa lesen dilaporkan berlaku.

“Sebelum ini ada kejadian bot terbakar sehingga menyebabkan kecederaan kepada pelancong yang dibawa.

“Begitu juga dengan risiko keselamatan pelancong apabila syarikat-syarikat tidak berlesen ini mengupah jurulatih penyelam yang tidak bertauliah,” katanya.

Menurutnya, syarikat berkenaan menggaji jurulatih penyelam dengan bayaran sebanyak RM20 sehari supaya mereka boleh menawarkan pakej pelancongan yang lebih murah.

“Ada kalanya, Semporna dilihat sebagai destinasi pelancongan ‘murah’, namun itu akan menyebabkan kerugian kepada masyarakat setempat yang bekerja dalam industri pelancongan,” katanya.

Berita Harian X