Jumaat, 12 Julai 2019 | 5:33pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Melvin Joni

Kaunselor PBT daripada PSB disingkirkan

KUCHING: Semua Ahli Majlis atau Kaunselor pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) sudah disingkirkan daripada jawatan masing-masing.

Susulan itu, kira-kira 700 jawatan Kaunselor bagi 24 PBT di seluruh negeri ini kini hanya diisi wakil daripada komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata berikutan penyusunan semula itu, ramai muka baharu disenaraikan sebagai Kaunselor bagi setiap PBT.

“Senarai kaunselor berkenaan sudah diluluskan dan akan dibentangkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Penghargaan Tuai Rumah Bahagian Kuching, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya kemungkinan keputusan kerajaan negeri itu sebagai tindakan mengetepikan PSB.

Langkah Kerajaan Sarawak menyingkirkan Ahli Majlis berkenaan dilihat menambah ‘kekusutan’ dalam PSB selepas Timbalan Presidennya, Datuk Dr Jerip Susil, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta melalui surat rasmi bertarikh 10 Julai 2019.

Mengulas keputusan Menteri Muda Pengangkutan Sarawak itu pula, Uggah berkata, beliau menghormati keputusan Dr Jerip.

Ketika ditanya sama ada Dr Jerip akan menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahuinya.

Berita Harian X