Khamis, 11 Julai 2019 | 6:33pm
Fauzi (bersongkok) memantau lelongan durian ketika melancarkan kempen Jom Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu. - NSTP/Baharom Bakar
Fauzi (bersongkok) memantau lelongan durian ketika melancarkan kempen Jom Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu. - NSTP/Baharom Bakar

Tidak hirau cedera asal dapat durian udang merah

KUALA TERENGGANU: Ibarat pisang goreng panas, itulah yang dapat digambarkan apabila kira-kira 700 peminat raja buah menyerbu dan berasak untuk mendapatkan durian udang merah yang dijual dengan harga runtuh pada program lelongan durian di Pasar Tani Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Ada antara mereka terjatuh di atas timbunan durian berikutan ditolak ketika sedang memilih buah yang terbaik.

Namun luka kecil terkena duri tidak diendahkan, asalkan dapat membelinya dengan harga jauh lebih murah daripada yang dijual pemborong dan peniaga di tempat lain.

Pada program lelongan durian sempena kempen Jom Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, harga durian udang merah dan durian klon D101, D13 yang biasanya dijual dengan harga antara RM18 dan RM22 sekilogram dijual dengan harga RM14 sekilogram.

Ada antara peminat raja buah itu sanggup beratur lebih dua jam untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan durian pada program lelongan yang bermula kira-kira jam 9 pagi.

Pada program lelongan durian dilakukan seorang usahawan FAMA itu, sebanyak 15 tan durian pelbagai jenis termasuk udang merah dan D101 licin dalam tempoh tiga jam.

Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed, berkata, program lelongan durian akan diadakan di semua pasar tani di seluruh negeri bagi memberi peluang kepada peminat raja buah membelinya dengan harga lebih murah jika dibandingkan dengan harga dijual pemborong dan peniaga di beberapa pasar utama di negeri ini.

Katanya, FAMA melantik empat usahawan durian untuk membuat lelongan durian di semua pasar tani termasuk di pekarangan pejabat FAMA di Jalan Hiliran secara bergilir.

“Disebabkan sambutan amat memberangsangkan apabila sebanyak 15 tan habis dijual dalam tempoh tiga jam, FAMA akan meningkatkan bilangan kuantiti antara 30 hingga 50 tan durian.

“Durian itu akan ditempah usahawan yang diberi tanggungjawab untuk membuat lelongan, mendapatkan buah itu terus dari ladang di Johor Bahru, Pahang dan Kedah,” katanya.

Berita Harian X