Khamis, 11 Julai 2019 | 3:24pm
PENEMPATAN Orang Asli suku Batek di Kuala Koh. - Foto Syamsi Suhaimi

Kerajaan Kelantan sedia bantu Orang Asli Kuala Koh

GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan sedia membantu segala keperluan penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, di sini selepas kawasan penempatan itu bebas daripada zon merah, Isnin lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata pihaknya turut mengambil perhatian terhadap permasalahan kaum itu di kampung terbabit selepas berlaku tragedi jangkitan demam campak.

Katanya, keadaan itu dilihat dari sudut penyediaan keperluan air bersih bagi kegunaan harian mereka supaya tidak lagi ketinggalan.

“Bagaimanapun, bagi keperluan jangka panjang, kita terpaksa dibuat penelitian semula berikutan jarak Kuala Koh dengan Gua Musang terlalu jauh. Kita tengok bagaimana ia boleh dilaksanakan nanti kerana faktor jarak perjalanan ini harus diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tragedi jangkitan demam campak di Kampung Kuala Koh bermula awal Mei lalu sehingga menyebabkan kematian 15 Orang Asli suku Batek dan 112 orang lagi menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Ahmad mengakui dalam tempoh tragedi itu berlaku, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ada menghantar keperluan air bersih kepada penduduk Orang Asli di kampung berkenaan.

Beliau berkata, air bersih itu disimpan dalam dua tangki besar yang disediakan supaya penduduk kaum itu tidak berdepan masalah bagi mendapat air bersih untuk minum dan memasak.

Katanya, sebenarnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sendiri perlu mengatur segala keperluan untuk mereka terutama keperluan air dan kemudahan lain.

“Apapun, kita juga sentiasa memberi perhatian ke atas masalah dihadapi kaum itu supaya mereka turut menerima perubahan hidup,” katanya.

Berita Harian X