Khamis, 11 Julai 2019 | 10:00am
USAHAWAN, Datuk Zhafran Yusof (tiga kanan) bersama isterinya seorang pelakon, Datin Fauziah Gous (empat kanan) bertanya khabar kepada Fairol Haziri Rahim (kanan) tentang keadaan Kamareeah Arwae yang koma sejak tujuh bulan lalu kerana menghidap tumor di kepala ketika lawatan di rumah sewanya di Taman SL Badang, Pantai Cahaya Bulan (PCB). - Foto Nik Abdullah Nik Omar
USAHAWAN, Datuk Zhafran Yusof (tiga kanan) bersama isterinya seorang pelakon, Datin Fauziah Gous (empat kanan) bertanya khabar kepada Fairol Haziri Rahim (kanan) tentang keadaan Kamareeah Arwae yang koma sejak tujuh bulan lalu kerana menghidap tumor di kepala ketika lawatan di rumah sewanya di Taman SL Badang, Pantai Cahaya Bulan (PCB). - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Berdoa isteri pulih daripada koma

KOTA BHARU: “Saya mengharapkan keajaiban akan berlaku dan apabila isteri sedar nanti dia boleh menyusukan anak kami,” kata Fairol Haziri Rahim, 44, suami kepada Kamareeah Arwae, 36, yang melahirkan anak bongsu mereka dalam keadaan koma.

Fairol Haziri berkata, doktor memberi jaminan bahawa Kamareeah akan sembuh suatu hari nanti, namun tidak dapat memberi tempoh berapa lama isterinya yang terlantar itu akan kembali pulih.

“Lebih menyedihkan, sejak lahir Farah Hanis yang kini berusia 53 hari hanya bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas untuk bayi pramatang kerana isteri tidak dapat menyusukan bayi kami seperti yang dilakukan sebelum ini kepada anak sulung, Farras Hazim, 19 bulan, walaupun hanya sekejap.

“Selepas isteri koma, Farras terus terputus susu ibu dan sejak itu, dia enggan minum susu formula.

“Hati saya sebak melihat anak bongsu yang baru dilahirkan membesar tanpa belaian seorang ibu dan perasaan gembira kami menyambut orang baru bertukar pilu,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, semalam.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada usahawan Datuk Zhafran Yusof yang turut ditemani isterinya yang juga seorang pelakon, Datin Fouziah Gous untuk melihat sendiri keadaan Kamareeah serta anak bongsunya yang dilahirkan pramatang.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kamareeah yang terlantar akibat ketumbuhan di bahagian kepala sejak tujuh bulan lalu melahirkan anak bongsunya Farah Hanis secara pembedahan ketika berada dalam keadaan koma.

Menurut Fairol Haziri, selepas kisah sedihnya itu tular di media sosial dan mendapat liputan akhbar, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai datang ke rumah dan menyerahkan sumbangan untuk meringankan bebannya.

“Alhamdulillah, kos untuk membeli lampin pakai buang dan susu kepada isteri serta anak bongsu dapat dijimatkan apabila ada pihak yang menyumbang barang berkenaan untuk mereka.

“Sumbangan yang diberikan cukup besar maknanya kepada saya, lebih-lebih dalam keadaan saya sudah tidak boleh bekerja kerana perlu menguruskan isteri sepanjang masa.

“Sejak isteri terlantar, hanya saya seorang yang menjaganya dari menukar lampin pakai buang, mengelap tubuh badan, memberi susu khas melalui wayar yang dipasang di hidungnya sehingga membersihkan wayar di bahagian lehernya yang ditebuk,” katanya.

Katanya, memandangkan dia perlu menguruskan keperluan isteri, buat sementara waktu, Farah Hanis dijaga oleh sepupunya yang tinggal berjiran dengannya.

“Sebelum ini, saya menerima beberapa panggilan daripada individu yang mahu mengambil Farah Hanis sebagai anak angkat, namun saya tidak bersetuju kerana biar sesukar mana, saya tidak akan berpisah dengan anak,” katanya.

Sementara itu, Zhafran berkata, dia dan isterinya melakukan kerja amal dengan menziarahi keluarga memerlukan, selain menghulurkan sumbangan kepada mereka yang berada di sekitar pantai timur sejak kejadian bah kuning di Kelantan pada 2014.

“Bagaimanapun dalam banyak kes yang pernah kami lawati, keajaiban yang berlaku ke atas Kamareeah yang melahirkan anak bongsunya dalam keadaan koma selepas tular membuatkan saya dan isteri benar-benar ingin bertemu dengan keluarga ini.

“Alhamdulillah, perbincangan bersama sahabat yang tinggal di Kelantan memudahkan kami mencari keluarga ini dan berpeluang melihat sendiri keadaan Kamareeah serta anaknya,” katanya.

Berita Harian X