Rabu, 10 Julai 2019 | 11:37pm
Jabatan Kehakiman Selangor (JAKESS).

'Fast track' bukan untuk selesaikan kes cerai sewenang-wenangnya - JAKESS

SHAH ALAM: Kaedah proses perceraian ‘fast track’ yang diperkenalkan Jabatan Kehakiman Selangor (JAKESS) bukan untuk menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya.

JAKESS dalam satu kenyataan, hari ini, berkata sistem diperkenalkan pada 2015 itu perlu melalui pelbagai fasa, termasuk jalan penyelesaian bagi konflik rumah tangga dihadapi setiap pasangan bermasalah.

Katanya, pemfailan kes di Mahkamah Syariah hanya dibuat selepas usaha menerusi kaedah runding cara itu gagal menyelamatkan perkahwinan pasangan terbabit.

“Pewujudan proses kerja kes cerai secara ‘fast track’ adalah untuk menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan Mahkamah Syariah Selangor yang mendakwa mahkamah mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan kes cerai di negeri ini.

“Ia adalah satu prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan JAKESS bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengendalian kes cerai difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa hingga 90 hari untuk diselesaikan,” katanya.

Isu proses perceraian hanya mengambil masa enam jam di Selangor dibangkitkan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Ia dibangkitkan oleh Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang turut mendakwa proses perceraian ekspres di Selangor antara punca negeri ini mencatat kes perceraian tertinggi di Malaysia.

Mengulas lanjut, JAKESS berkata, kaedah diperkenalkan itu bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan.

“Syarat itu ialah dokumen lengkap, suami isteri hadir di mahkamah dan wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni.

“Selain itu, isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci itu, dan mahkamah berpuas hati bahawa sudah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kaedah terbabit bukanlah untuk menggalakkan masyarakat Islam bercerai sehingga menyumbang kadar kes tinggi di Selangor.

“Sebaliknya, kadar perceraian tinggi tercatat disebabkan jumlah penduduk yang ramai di Selangor berbanding negeri lain di seluruh Malaysia,” katanya.

Berita Harian X