Isnin, 8 Julai 2019 | 10:21pm
MOHD Shafie Apdal
MOHD Shafie Apdal

Penubuhan renjer marin mampu kekang kegiatan bom ikan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik cadangan penubuhan renjer marin bagi membantu mengekang kegiatan bom ikan yang semakin berleluasa di perairan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata cadangan itu akan dipertimbangkan selepas proses penyerahan pengurusan Pulau Sipadan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri

selesai.

“Kita menyambut baik cadangan itu. Ini akan kita pertimbangkan selepas selesai proses penyerahan pengurusan Pulau Sipadan kepada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Persatuan Menyelam Profesional Semporna, Abdul Razak Ismail bahawa sudah tiba masanya renjer marin ditubuhkan bagi menangani isu pengeboman ikan, terutama di Semporna.

Jumaat lalu, tiga termasuk dua pelancong China maut ketika aktiviti menyelam dalam kejadian di Pulau Kulapuan, Semporna.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, seorang mangsa yang maut adalah tenaga pengajar selam skuba, Zainal Abdun, 31, manakala dua lagi pelancong dari China dikenali sebagai Zhao Zhong dan Ku Yingjie, kedua-duanya berusia 26 tahun.

Mengulas lanjut mengenai Pulau Sipadan, Mohd Shafie berkata, ketika ini, pengurusan Pulau Sipadan dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat baru-baru ini telah bersetuju untuk menyerahkan pengurusan Pulau Sipadan kepada kerajaan negeri.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersetuju dan saya juga difahamkan, Kabinet Persekutuan juga setuju,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie juga meminta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew untuk sentiasa berhubung dengan operator pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong.

“Ini termasuklah untuk memastikan keselamatan penyelam dengan menyediakan jurulatih penyelam yang berkualiti dan tahu kawasan yang selamat kepada penyelam,” katanya.

Berita Harian X