Isnin, 8 Julai 2019 | 4:56pm
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak, Philip Sangkan (tengah).
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak, Philip Sangkan (tengah).

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri: Program pemutihan hingga 31 Julai

KUCHING: Pemandu teksi, e-hailing dan bas di Sarawak yang masih belum mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, dikehendaki tampil berbuat demikian melalui program pemutihan sedang dijalankan.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak, Philip Sangkan, berkata pihaknya melaksanakan bulan pemutihan bermula 1 Julai hingga 31 Julai ini bagi memastikan semua pemandu teksi, e-hailing dan bas mendaftar dengan agensi berkenaan.

“Skim ini memberikan perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan, termasuk penyakit dan kemalangan ketika melakukan pekerjaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Philip berkata, apabila program itu tamat, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap mereka yang ingkar mulai 1 Ogos depan.

Beliau berkata, kegagalan untuk mendaftar adalah kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau tidak melebihi dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pemandu yang mendaftar secara sukarela dalam tempoh pemutihan akan dikecualikan daripada tindakan kompaun dan pendakwaan.

Sementara itu, Philip berkata, statistik di Sarawak menunjukkan setakat bulan lalu, seramai 807 pemandu sudah mendaftar dengan PERKESO sejak skim berkenaan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017.

“Daripada jumlah itu, seramai 148 pemandu berdaftar di Kuching,” katanya.

Antara syarat kelayakan pendaftaran ialah pemandu mestilah warganegara Malaysia, pemastautin tetap, memiliki lesen memandu, kad kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan kad pemandu.

Pendaftaran dan caruman boleh dibuat dengan mengunjungi pejabat PERKESO berhampiran.

Berita Harian X