Isnin, 8 Julai 2019 | 11:44am
Saudara baru Orang Asli bersama tetamu menunaikan solat Jumaat pada Majlis Kesyukuran sempena solat Jumaat pertama di surau Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Saudara baru Orang Asli bersama tetamu menunaikan solat Jumaat pada Majlis Kesyukuran sempena solat Jumaat pertama di surau Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Mualaf Orang Asli bersyukur doa dimakbulkan

PEKAN: Impian memiliki rumah sendiri selepas lebih lima tahun tinggal di stor surau, akhirnya menjadi kenyataan bagi sebuah keluarga mualaf Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang, di sini.

Zalilawati Abdullah, 34, berkata Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) meluluskan permohonannya tanpa sebarang syarat, tahun lalu.

Beliau berkata, penantian mereka sekeluarga berakhir apabila penyerahan rumah itu dilakukan sendiri oleh Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Jumaat lalu.

“Syukur kerana doa saya bersama suami, Mohamad Abdullah, 45, dimakbulkan dan ia adalah hadiah sangat bermakna bagi kami sekeluarga.

“Ini kerana dengan pendapatan suami sebagai pekerja ladang kelapa sawit, agak mustahil untuk kami memiliki rumah sendiri. Namun, MUIP membantu menjadikan impian kami kenyataan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Zalilawati berkata, kehidupan beliau bersama suami dan empat anak berumur antara sembilan bulan hingga 13 tahun, kini lebih selesa.

“Kami sekeluarga amat bersyukur dapat berteduh di rumah sendiri yang dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air paip dan elektrik.

“Saya akan menjaga rumah ini sebaik mungkin kerana ia adalah hadiah istimewa selepas bergelar saudara baharu sejak beberapa tahun lalu.

“Semoga pihak MUIP dapat membantu lebih ramai mualaf dalam kalangan Orang Asli di sini untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Berita Harian X