Jumaat, 5 Julai 2019 | 7:29pm
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee. - Foto Rasul Azli Samad
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee. - Foto Rasul Azli Samad

Lesen sementara buat peniaga durian - EXCO

MELAKA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta memberi lesen sementara kepada peniaga durian bagi mengelak berlakunya lambakan raja buah berkenaan.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee, berkata pihaknya meminta pihak PBT memberi kelonggaran itu kepada peniaga durian agar tiada masalah lambakan berlaku.

Beliau berkata, PBT di negeri ini antaranya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) agar mengeluarkan lesen sementara kepada peniaga untuk berniaga.

“Kita mohon PBT bagi kelonggaran kepada penjual untuk tempoh sebulan agar mereka dapat menjualnya di lokasi-lokasi tumpuan.

“Bagaimanapun, peniaga perlu mencari lokasi yang selamat dan sesuai agar tidak berlaku sesuatu kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada Program Pelancaran Melaka Durian Street 2019, di Klebang, hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Che Samudin Hassan.

Beliau berkata, untuk program itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu, Fama menyasarkan jualan sebanyak RM300, 000 dengan bekalan durian sebanyak 20 metrik tan.

“Ini adalah program tahunan dalam usaha Fama membantu petani memasarkan hasil mereka.

“Selain durian turut dipasarkan pada program ini buah-buahan tempatan lain seperti manggis, rambutan, mangga delite dan cempedak selain harga yang ditawarkan juga berpatutan,” katanya.

Berita Harian X