Rabu, 3 Julai 2019 | 2:50pm
Kerajaan Persekutuan sudah mengambil tindakan bagi mengatasi masalah limpahan air larutan lesap dari Tapak Pelupusan Ladang CEP Simpang Renggam. - Arkib NSTP
Kerajaan Persekutuan sudah mengambil tindakan bagi mengatasi masalah limpahan air larutan lesap dari Tapak Pelupusan Ladang CEP Simpang Renggam. - Arkib NSTP

Isu Tapak Pelupusan Ladang CEP Simpang Renggam diatasi

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan sudah mengambil tindakan bagi mengatasi masalah limpahan air larutan lesap dari Tapak Pelupusan Ladang CEP Simpang Renggam yang memasuki Sungai Benut setiap kali hujan lebat berterusan, sekali gus mencemarkan sumber bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, berkata langkah utama diambil adalah mengarahkan penutupan tapak berkenaan pada 23 Mac lalu.

“Selain itu, kerajaan turut menaik taraf Loji Rawatan Air Larutan Resap sedia ada di tapak berkenaan bagi memperbesarkan kapasiti sedia ada serta mengukuhkan tebing kolam takungan cecair itu dan membina sistem kawalan hakisan tanah.

“Tiga Loji Rawatan Air Larutan Resap Bergerak turut ditempatkan di tapak pelupusan berkenaan bagi membolehkan lebih banyak cecair itu dirawat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang) pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Chen Choon berkata, antara inisiatif lain yang diambil termasuk memindahkan sebahagian air larutan resap itu ke Tapak Pelupusan Sanitari Seelong dekat sini, dengan menggunakan tiga lori tangki setiap hari.

“Selepas tapak itu tidak lagi beroperasi, kerja penutupan sampah akan dibuat di seluruh kawasan berkenaan bagi mengurangkan bau busuk dan mengurangkan air larutan resap yang terhasil apabila hujan.

“Inisiatif lain adalah pembinaan loji Sistem Penyingkiran Pencemaran oleh syarikat pengendali bekalan air, Ranhill SAJ bagi menyelesaikan isu peningkatan tahap ammonia di Sungai Benut,” katanya.

Berita Harian X