Ahad, 30 Jun 2019 | 8:57pm
Kawasan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Kawasan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Selangor buru pemilik tanah tapak pelupusan sampah terbakar

PELABUHAN KLANG: Kerajaan Selangor dalam usaha mengenal pasti individu yang membuat pembakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, baru-baru ini sehingga memusnahkan kawasan seluas 1.2 hektar.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata pihaknya percaya kebakaran itu dilakukan oleh individu yang menceroboh tanah gambut di kawasan itu.

“Buat masa ini, pasukan bomba masih berada di situ untuk memastikan api dipadamkan sepenuhnya. Kita sedang dalam proses mengenal pasti individu terbabit selain melihat sekiranya terdapat pembabitan orang asing yang meneroka kawasan tanah gambut itu.

“Api sukar dipadamkan kerana kawasan ini tanah gambut yang menyebabkan ia cepat merebak selain faktor cuaca agak panas menyukarkan proses pemadaman,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Parlimen Klang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang di sini yang turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Amirudin menyampaikan ucapan pada majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Parlimen Klang dan DUN Pelabuhan Klang yang turut dihadiri ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (kanan). - NSTP/Saddam Yusoff
Amirudin menyampaikan ucapan pada majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Parlimen Klang dan DUN Pelabuhan Klang yang turut dihadiri ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (kanan). - NSTP/Saddam Yusoff

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan sepenuhnya berkaitan kebakaran di kawasan itu daripada Jawatankuasa Bencana di peringkat negeri.

“Laporan berhubung kebakaran akan diperoleh dalam masa terdekat dan kita akan mengetahui pemilik tanah terbabit. Namun, maklumat awal diterima terdapat ramai pemilik tetapi kita akan menyiasatnya.

“Selain memadamkan kebakaran, tanggungjawab kita ialah menyelesaikan isu pemilikan tanah dan penerokaan tanpa kawalan yang pastinya membabit pelbagai agensi,” katanya.

Khamis lalu, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, memusnahkan kira-kira 1.2 hektar mula dikesan pada jam 8 pagi.

Hingga kini, 70 peratus daripada kawasan tapak pelupusan haram yang terbakar di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, sudah dipadamkan.

Ini berikutan kerja-kerja pemadaman menghadapi sedikit kesukaran berikutan timbunan sampah yang sangat dalam iaitu sekitar 2.4 meter dan berada di kawasan paya bakau selain perlu menggunakan jengkaut untuk menggali punca api di bawah timbunan sampah berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X