Jumaat, 28 Jun 2019 | 5:10pm
BARU Bian (tiga, kiri) berbincang dengan para pegawai Kementerian Kerja Raya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNG) Sarawak
BARU Bian (tiga, kiri) berbincang dengan para pegawai Kementerian Kerja Raya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNG) Sarawak

Kerjasama antara kerajaan jamin kelancaran pembangunan

KUCHING: Kerjasama erat antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dapat memastikan projek pembangunan yang dirancang di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata kerjasama itu penting untuk memastikan 631 projek Persekutuan yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM4.31 bilion dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata, projek pembangunan tidak seharusnya menjadi alat politik mana-mana pihak, sebaliknya kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan.

“Kita tidak mahu mempolitikkan projek pembangunan dan ini adalah pendirian kerajaan kerana itu penting supaya semua agihan atau projek yang sudah diluluskan dapat dilaksanakan bersama oleh kerajaan negeri dan juga Persekutuan.

“Saya juga berharap supaya semua agensi yang terbabit dapat memberi jaminan kepada kita semua bahawa kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam hal pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat Sarawak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Sarawak, di sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Mengenai prestasi perbelanjaan semasa projek Persekutuan dalam RMK-11 di Sarawak, Baru berkata, sehingga kini hanya RM711 juta atau 16.5 peratus dibelanjakan daripada RM4.31 bilion yang diperuntukkan.

“Ini jelas menunjukkan Sarawak mengalami sedikit kelewatan dalam pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan, justeru kita menyarankan semua agensi Persekutuan dan negeri supaya bekerjasama untuk memastikan projek yang sudah diluluskan atau yang sedang digiatkan dilaksanakan di Sarawak ini berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan itu amat bermakna dalam usaha untuk memastikan kelancaran projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan negeri ini dengan Semenanjung.

“Saya juga memberi jaminan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa jentera dan agensi kerajaan negeri akan bekerjasama untuk menentukan pelaksanaan projek ini Sarawak mengikut jadual dan seperti yang kita harapkan.

“Saya juga lega dengan peruntukan berjumlah RM10.75 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi meneruskan pelaksanaan projek penyukatan perimeter tanah hak adat Bumiputera (NCR) di negeri ini,” katanya.

Berita Harian X