Ahad, 23 Jun 2019 | 1:34pm
ORANG ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Tengku Faiz Petra Gua Musang. - Foto Fathil Asri

Jenazah 15 Orang Asli akan dikebumikan

GUA MUSANG: Jenazah 15 Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia akibat demam campak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, hari ini.

Kesemua 15 jenazah membabitkan mangsa berusia antara setahun hingga 63 tahun itu dikebumikan dalam satu liang lahad.

Jenazah dibawa keluar menaiki enam van jenazah dari bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) pada jam 8.30 pagi tadi selepas selesai bedah siasat semalam.

Jenazah dibawa ke Masjid Tengku Faiz Petra Gua Musang untuk solat jenazah yang diimamkan Imam Tua masjid berkenaan, Othman Saufi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Agama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Murtadha Abdullah; Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin.

Orang Asli yang meninggal dunia ialah Romi Hamdan, 29; Poja Jong, 21; Nasri Rosli, 3; Jaid Keladi, 55; Safia Papan, 18; Fayah Papan, 20; Din Hamdan, 18; Meknab Tebu, 63; Leha Hamdan, 26; Mohd Saleh Khaizan; 1, Jelik Jong; Puspa Lee, 5; Amir Lee, 1; Haika Rahim, 22 dan Farah Rahim, 20.

JENAZAH Orang Asli dibawa masuk ke dalam van untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh. - Foto Fathil Asri

Dalam kejadian sejak lebih sebulan lalu itu, seramai 15 Orang Asli suku Batek meninggal dunia dipercayai dijangkiti kuman demam campak dan 112 orang lagi menerima rawatan di klinik berhampiran.

Jenazah 14 daripada 15 penduduk Orang Asli terbabit dilakukan bedah siasat bagi mengenalpasti jangkitan penyakit terbabit kerana sebelum ini ada yang dikebumikan mengikut adat suku Batek.

Murtadha, ketika ditemui selepas sembahyang jenazah, berkata MAIK diberi tanggungjawab penuh untuk menguruskan pengebumian 15 jenazah itu.

Katanya, selepas diteliti rekod, mereka kesemuanya beragama Islam dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh.

Beliau berkata, pengebumian itu turut dihadiri ahli keluarga masing-masing dan penduduk Orang Asli kampung berkenaan.

“Kita mengebumikan 15 jenazah itu ikut Islam selepas mendapat persetujuan keluarga masing-masing,” katanya.

Berita Harian X