Sabtu, 22 Jun 2019 | 6:34pm
ANTARA jemaah yang menyertai Kursus Perdana Haji 2019 yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
ANTARA jemaah yang menyertai Kursus Perdana Haji 2019 yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

5,500 bakal jemaah serta Kursus Perdana Haji Selangor

SHAH ALAM: Seramai 5,500 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2019 yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini dan esok.

Pengarah TH Selangor, Mohd Nasir Mohd Yusoff berkata, jumlah keseluruhan bakal jemaah yang layak menunaikan haji tahun ini adalah 5,900 orang, tetapi ada yang tidak dapat hadir ke kursus berkenaan.

“Alhamdulillah, 91 peratus daripada 5,900 bakal jemaah dari negeri ini hadir pada program selama dua hari ini.

“Objektif utama program ini bertujuan memfokuskan mengenai pendedahan terakhir terutama amali mengenai ibadat haji yang bakal ditunaikan mereka kelak.

“Melalui kursus ini, kita tunjukkan mereka suasana sebenar sepanjang ibadah itu dilakukan kelak,” katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mohd Nasir berkata, penerbangan pertama jemaah haji dari Selangor bermula pada 4 Julai depan.

Sementara itu, bagi peserta, Zaharah Majid, 61, program itu memberi manfaat kepada bakal jemaah haji sebagai persiapan terakhir sebelum berlepas ke Makkah.

“Saya sebelum ini memang sudah mengikuti beberapa kursus haji anjuran TH dan memperoleh banyak ilmu mengenai syarat serta rukunnya.

“Namun, kursus ini dianggap menyeluruh kerana membabitkan peserta lebih ramai dan suasana berbeza,” katanya.

Berita Harian X