Sabtu, 22 Jun 2019 | 6:15pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah. - Foto Effendy Rashid
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah. - Foto Effendy Rashid

Sultan Nazrin puji TH cemerlang urus jemaah haji

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, hari ini memuji Lembaga Tabung Haji (TH) kerana berjaya melaksanakan urusan haji dengan cemerlang walaupun berdepan cabaran besar ketika ini.

Baginda bertitah, cabaran besar berbentuk urus tadbir kewangan itu tidak menjejas perkhidmatan menguruskan urusan haji, sebaliknya terus mengekalkan segala kemudahan yang diperlukan untuk keselesaan para jemaah.

“Beta merakamkan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji atas perkhidmatan cemerlang yang telah mereka buktikan untuk sekalian lamanya.

“Hargailah perkhidmatan yang disediakan, berikanlah segala kerjasama kepada kakitangan mereka bermula daripada sikap semasa berkursus, semasa perjalanan udara dan darat, semasa berada di Makkah dan Madinah, sehingga perjalanan pulang selepas selesai menyempurnakan ibadah haji,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Baginda turut bertitah, TH sememangnya dikenali sebagai badan yang memiliki rekod menguruskan urusan haji secara profesional lagi komprehensif.

Titah baginda, TH juga memenuhi segala keperluan jemaah sebaik mungkin merangkumi penempatan, pengangkutan, makanan, kebajikan, perubatan dan kesihatan selain keperluan ibadah serta keilmuan dengan menyediakan pemandu, mutawif dan guru.

Pada tahun ini seramai 2,795 orang dari negeri Perak mendapat tempat untuk mengerjakan haji. – BERNAMA

Berita Harian X