Khamis, 20 Jun 2019 | 11:27am
PEGAWAI Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas selipar tiruan jenama Birkenstock dalam pemeriksaan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Menglembu. - Foto ihsan KPDNHEP
PEGAWAI Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas selipar tiruan jenama Birkenstock dalam pemeriksaan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Menglembu. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP rampas selipar tiruan Birkenstock

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 419 unit selipar tiruan jenama Birkenstock bernilai RM2,933 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Menglembu di sini pagi semalam.

Serbuan jam 10 pagi itu disertai 18 anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Perak bersama empat wakil cap dagang dari Josephine, L K Chow & Co.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik, berkata siasatan awal pihaknya mendapati selipar tiruan berkenaan dijual kepada pelanggan sekitar negeri ini secara borong dengan harga bermula RM7.

“Penguat kuasa kemudiannya menyita kesemua rampasan berkenaan dan dibawa ke stor eksibit KPDNHEP Perak bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid berkata, KPDNHEP memandang serius tindakan peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan berjenama yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata, selain menjaga hak pengguna, KPDNHEP turut serius melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di negeri ini.

Berita Harian X