Isnin, 17 Jun 2019 | 4:03pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Kerajaan Pulau Pinang
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Kerajaan Pulau Pinang

Kerajaan Pulau Pinang sedia kaji semula skala PSR

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang bersedia mempertimbangkan semula skala bagi projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) sekiranya Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata PSR akan tetap dilaksanakan berikutan Pulau Pinang memerlukan tanah baharu untuk pembangunan masa hadapan, terutama membabitkan pelaburan sektor elektrik dan elektronik.

“Jika ada peruntukan daripada Kerajaan Pusat, kita akan lihat semula skala PSR, mungkin keluasan tanah (yang akan ditambak) akan dikaji semula.

“Bagaimanapun, kita perlukan tanah baharu untuk masa hadapan. Tanah PSR diperlukan untuk kembangkan sektor elektrik dan elektronik yang semakin memberangsangkan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan kepada Sekolah-Sekolah di Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menyalurkan dana kepada kerajaan Pulau Pinang bagi membiayai pelbagai projek dirangka menerusi PIP.

Guan Eng berkata, pihaknya akan meneliti permohonan kerajaan Pulau Pinang terlebih dulu, selain ia perlu dibincangkan menerusi semua aspek, termasuk laporan perunding kewangan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, ketika ini kerajaan negeri masih belum menyerahkan permohonan dana kepada Kerajaan Persekutuan berikutan masih belum memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi projek PSR.

Katanya, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR akan dihantar kepada JAS dalam tempoh terdekat untuk diteliti, selepas ia dibentangkan kepada awam selama sebulan bermula April lalu.

“Selepas ini kita hanya menunggu keputusan JAS dan saya berharap tahun ini juga kita dapat serahkan permohonan dana kepada Kerajaan Pusat,” katanya.

Pelaksanaan PSR adalah membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar, yang dijangka mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.

Ia dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam PIP, antaranya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

Berita Harian X