Sabtu, 15 Jun 2019 | 11:33am

Lari sambil pakai baju raya

PUTRAJAYA: Sempena meraikan Aidilfitri, program Presint 18 Parkrun hari ini menampilkan keunikan tersendiri apabila peserta larian itu mengenakan pakaian tradisional berhari raya untuk berlari.

Sebahagian besar daripada lebih 100 peserta yang mengambil bahagian dalam acara mingguan itu mengenakan baju Melayu serta samping dan songkok, berbaju kurung dan berkebaya untuk larian sejauh lima kilometer di Kompleks Futsal Presint 18, di sini.

Pengarah program, Noor Huda Daud, berkata tema berpakaian hari raya itu diadakan bagi meraikan suasana Aidilfitri yang masuk hari ke-11 hari ini, selain menyuntik kelainan dan kegembiraan dalam kalangan peserta.

“Pada edisi Presint 18 Parkrun ke-34 ini, kita galakkan peserta mengenakan baju raya dan ini julung kali ia diadakan sejak program ini diperkenalkan pada November tahun lalu.

“Alhamdulillah, sambutan diterima sangat menggalakkan dengan hampir separuh daripada peserta mengikut tema yang dicadangkan, malah ada yang sekeluarga menyertainya, sekali gus menambah kemeriahan pada larian edisi istimewa ini,” katanya ketika ditemui selepas program itu.

Sementara itu, seorang peserta, Adi Aiman Kamaruddin, 34, berkata tema larian pada minggu ini menarik perhatian beliau dan keluarga untuk menyertainya.

Adi Aiman bersama keluarga antara peserta larian program Presint 18 Parkrun di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Adi Aiman bersama keluarga antara peserta larian program Presint 18 Parkrun di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

“Kami sering menyertai Presint 18 Parkrun namun minggu ini ia lebih istimewa. Saya bersama isteri, ibu mentua dan dua anak kecil sama-sama berlari dengan memakai pakaian hari raya.

“Memang agak ‘renyah’ sebenarnya berlari dalam pakaian ini tapi tiada yang mustahil kerana ada banyak program larian yang mensyaratkan peserta memakai baju mengikut tema, contohnya tema adiwira,” katanya.

Program Presint 18 Parkrun adalah acara mingguan yang diadakan setiap pagi Sabtu di Kompleks Futsal Presint 18. Ia adalah program komuniti setempat untuk memupuk dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di Putrajaya dan kawasan sekitar.

Sebahagian peserta larian di program Presint 18 Parkrun bertemakan baju raya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Sebahagian peserta larian di program Presint 18 Parkrun bertemakan baju raya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Sebahagian peserta program Presint 18 Parkrun. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Sebahagian peserta program Presint 18 Parkrun. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X