BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Membakut meningkat kepada 94 orang setakat jam 8 pagi tadi.
Pegawai Daerah Beaufort, Jupry Etok, berkata jumlah mangsa banjir itu membabitkan 34 keluarga daripada 11 kampung yang terjejas ekoran banjir yang berlaku sejak semalam.
“Semua mangsa dipindahkan ke Dewan Serbaguna Membakut selepas beberapa kampung dinaiki air sejak semalam.
“Antara kampung yang terjejas termasuk Kampung Lumantak, Kampung Baitam, Kampung Sinoko, Kampung Bambangan, Kampung Baru, Kampung Kayai, Kampung Lampijas, Kampung Jambatan Baru, Kampung Baitam Laut, Kampung Baitam Baru dan Kampung Papas,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Selain itu, Jupry berkata, sebanyak lima jalan turut dinaiki, namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Beliau berkata, keadaan cuaca kini mendung namun pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terus membuat pemantauan.