Jumaat, 14 Jun 2019 | 9:52pm
KEADAAN banjir di Membakut, Beaufort. - Foto ihsan APM

14 penduduk dipindahkan ke PPS

BEAUFORT: Banjir menyebabkan 14 penduduk daripada lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Membakut, dekat sini, petang tadi.

Mereka dipindahkan sejak jam 6 petang selepas air dari Sungai Membakut berada di paras bahaya dan melimpah ke kawasan rumah penduduk.

Penolong Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Erwin Kinsui, berkata enam kampung yang terjejas dinaiki air ialah Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baru, Kayai dan Lampijas.

“Mangsa yang dipindahkan membabitkan lima dewasa, lapan kanak-kanak dan seorang bayi.

“Disebabkan keadaan paras air sungai berada di tahap bahaya, dijangka lebih ramai penduduk akan dipindahkan ke PPS itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Erwin berkata, lima jalan turut dinaiki air tetapi masih boleh dilalui semua kenderaan kecuali Jalan Kampung Baitam yang hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Katanya, pemantauan di lokasi banjir terus dilakukan.

Berita Harian X