Rabu, 5 Jun 2019 | 7:00pm
AHMAD Faizal Azumu (kanan) membantu orang ramai mengambil makanan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2019 di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
AHMAD Faizal Azumu (kanan) membantu orang ramai mengambil makanan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2019 di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Perak terima pelaburan RM486 juta babitkan 5 syarikat peneraju GBS

IPOH: Perak memeterai perjanjian persefahaman dengan lima syarikat peneraju perkhidmatan perniagaan global (GBS) untuk melebarkan operasi mereka ke Ipoh, membabitkan pelaburan RM486 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata lima syarikat berkenaan akan memulakan pelaburan pada suku ketiga tahun ini dan ia dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan baharu dengan sebahagian besarnya dalam kategori berpendapatan tinggi.

“Pembangunan sektor ekonomi baharu GBS di bawah ekonomi digital ini secara langsung akan menjana lebih banyak kegiatan ekonomi di Ipoh dan Perak amnya.

“Kerajaan berharap usaha ini bakal mengurangkan aliran keluar modal insan Perak ke negeri lain dan pada masa sama, menarik rakyat Perak kembali berkhidmat di negeri sendiri.

“Usaha sama ini juga dijangka memberi peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan dan Perak amnya selain membantu menyelesaikan isu pengangguran di Perak yang mana statistik menunjukkan 23 peratus daripada lebih 20,000 graduan di Perak masih menganggur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nadzatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnaian Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Kira-kira 20,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat menghadiri majlis rumah terbuka itu yang turut membabitkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ahmad Faizal juga berharap pelaburan itu akan menyatukan kembali anak-anak muda dengan ibu bapa mereka, sekali gus mengerat dan mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan.

Jelas beliau, usaha itu juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan indeks kebahagiaan rakyat dan tidak hanya semata-mata melihat kepada indeks ekonomi saja.

Berita Harian X