Sabtu, 1 Jun 2019 | 10:35am
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad.
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad.

JKM Kedah lindungi 400 kanak-kanak setahun

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah terpaksa melindungi kira-kira 400 kanak-kanak setiap tahun selepas mereka diabaikan ibu bapa atau penjaga, didera dan terlibat dengan jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad, berkata jumlah itu sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan institusi kekeluargaan yang semakin rapuh ketika ini.

“Apabila JKM turun padang dan siasat, kita dapati banyak kes penderaan berlaku contohnya dalam lawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) baru-baru ini, ada dua ke tiga kes kanak-kanak didera, perkara ini sangat serius.

“Jika ibu bapa bermasalah dan terbabit penggunaan dadah, JKM boleh ambil alih hak penjagaan anak mereka mengikut Akta Kanak-Kanak, namun jika ada waris samada nenek atau keluarga terdekat mampu menjaga mereka, maka kita akan serahkan kepada keluarga ini dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang meninggal dunia dipercayai didera bapa tirinya di Guar Chempedak, Yan pada Sabtu lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji dipetik berkata, hasil ujian air kencing ke atas bapa tiri dan ibu kandung mangsa berusia 28 dan 23 tahun mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Mangsa, Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul ditemui meninggal dunia akibat mengalami kecederaan dalaman dan dipukul objek tumpul sebelum ditemui terbaring di atas lantai dapur rumahnya.

Halimaton ketika mengulas lanjut, berkata selain ibu bapa atau penjaga hilang kelayakan akibat mendera dan terlibat dengan dadah, mereka juga boleh kehilangan hak jika didapati gagal menyediakan tempat tinggal sepatutnya untuk anak-anak.

Ini berikutan terdapat kes apabila JKM menemui kanak-kanak tidur di tepi jalan atau kaki lima selain berlaku sumbang mahram.

“Ada ibu bapa yang tak mampu sediakan bilik untuk anak-anak menyebabkan berlaku sumbang mahram, malah ada ibu bapa yang keluar bekerja dan meninggalkan anak-anak ini begitu saja termasuklah anak orang kelainan upaya (OKU).

“Pada masa yang sama, kita juga ada kes kedua ibu bapa baik, tetapi anak pula yang terlibat jenayah seperti mencuri dan sebagainya, asalkan mereka berusia 18 tahun ke bawah, kita akan letakkan mereka dibawah jagaan JKM,” katanya.

Terdahulu, Halimaton menyampaikan sumbangan kepada 207 anak-anak yatim dan OKU dan pelajar tahfiz di Dewan Seri Mentaloon, di sini malam tadi.

Berita Harian X