Rabu, 29 Mei 2019 | 3:20pm
Muhammed Hasbullah (dua dari kiri) bersama Khirudin (kiri) melancarkan konvoi Ops Selamat 15 Sempena Perayaan Hari Gawai Dayak dan Aidilfitri 2019 di Kubah Ria, Kuching. - NSTP/Hazreen Mohamad
Muhammed Hasbullah (dua dari kiri) bersama Khirudin (kiri) melancarkan konvoi Ops Selamat 15 Sempena Perayaan Hari Gawai Dayak dan Aidilfitri 2019 di Kubah Ria, Kuching. - NSTP/Hazreen Mohamad

58 lokasi 'titik hitam' direkodkan di Sarawak

PETRA JAYA: Jalan Sibu-Bintulu dikenal pasti sebagai lokasi ‘titik hitam’ utama di Sarawak berikutan jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi direkodkan di laluan sepanjang lebih 200 kilometer itu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata sebanyak 58 lokasi ‘titik hitam’ direkodkan di seluruh negeri ini dengan sebahagian besarnya berada di laluan Sibu-Bintulu terbabit.

Beliau berkata, keadaan jalan raya masih belum sempurna berikutan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang rancak dilaksanakan ialah antara faktor penyumbang kadar kemalangan tinggi di laluan berkenaan.

“Oleh itu, kami akan memberi tumpuan di sepanjang jalan berkenaan pada musim perayaan Gawai Dayak dan Aidilfitri ini.

“Kami akan menugaskan pasukan pemantau disertai pegawai dan anggota pelbagai agensi, bagi meningkatkan rondaan serta pemantauan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof, pada majlis pelancaran Ops Selamat 15 Sempena Perayaan Gawai Dayak dan Aidilfitri di Kubah Ria, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman; serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu.

Sementara itu, Muhammed Hasbullah berkata, menerusi Ops Selamat pada 2017, sebanyak 692 kemalangan dengan 13 kematian direkodkan, manakala tahun lalu, seramai 10 maut direkodkan daripada 680 kemalangan.

“Bagaimanapun, kita berharap jumlah kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya dapat dikurangkan pada musim perayaan ini.

“Kita ada 750 anggota pemantau meliputi polis, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kesihatan yang akan ditempatkan di sepanjang laluan dari Kuching hingga Lawas,” katanya.

Berita Harian X