Rabu, 29 Mei 2019 | 12:50pm
KETUA Cawangan KPDNHEP Muar, Rizq Fazliana Abd Hamid. - Foto Adi Safri
KETUA Cawangan KPDNHEP Muar, Rizq Fazliana Abd Hamid. - Foto Adi Safri

197 premis diperiksa sempena musim perayaan

MUAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah memeriksa 197 premis perniagaan di daerah ini sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Ketua Cawangan KPDNHEP Muar, Rizq Fazliana Abd Hamid, berkata pemeriksaan bermula 21 Mei lalu sehingga semalam itu membabitkan 193 premis runcit serta empat premis pemborong dengan beberapa kesalahan dikesan dilakukan oleh peniaga.

“KPDNHEP Muar sudah melaksanakan pemeriksaan SHMMP Aidilfitri bermula sejak 21 Mei lalu. Pada hari pertama sahaja pelaksanaan skim ini, kami sudah mengeluarkan lima amaran kepada peniaga yang didapati gagal meletakan tanda harga berwarna merah jambu.

“Sehingga semalam, kita berjaya menghasilkan dua kes yang masing-masing membabitkan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu serta Akta Timbang Sukat 1972 dengan nilai kompaun sebanyak RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengetuai operasi pemeriksaan SHMMP Aidilfitri 2019 di Pasar Awam Maharani di sini, hari ini.

Rizq Fazliana berkata, pihaknya juga akan terus memantau dan membuat pemeriksaan terhadap semua premis perniagaan sepanjang 30 hari tempoh penguatkuasaan SHMMP Aidilfitri yang bermula 21 Mei hingga 19 Jun ini, bagi mengesan peniaga yang culas.

Katanya, selain daripada memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan SHMMP Aidilfitri terhadap 27 barangan harga terkawal, pihaknya juga akan memastikan setiap peralatan timbang dan sukat digunakan peniaga mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KPDNHEP Cawangan Muar sudah melakukan pemeriksaan terhadap 7,011 premis perniagaan di daerah Muar dan Tangkak sejak Januari hingga Mei.

“Daripada jumlah itu, kita berjaya menghasilkan 118 kes membabitkan pelbagai jenis kesalahan. Justeru, kami akan terus berusaha melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis perniagaan dari semasa ke semasa.

“Ingin saya nasihatkan kepada semua peniaga supaya mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna juga perlu tahu tanggungjawab serta hak mereka.

“Pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan supaya tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan skim ini. Ini kerana skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Berita Harian X