Isnin, 27 Mei 2019 | 8:59pm
AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

RM200,000 baik pulih balai, kuarters polis Parlimen Lembah Pantai

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM200,000 disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membaik pulih tiga balai dan sebuah kuarters dalam Parlimen Lembah Pantai.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada aku janji yang dibuat kepada pasukan keselamatan itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebagai balasan atas khidmat yang diberikan mereka dalam menjaga

keselamatan dan keamanan di kawasan terbabit.

Katanya, tiga balai yang akan dibaik pulih itu adalah Balai Polis Pantai, Balai Polis Petaling dan Balai Polis Travers serta kuarters Bukit Aman dengan masing-masing menerima RM50,000 bagi tujuan berkenaan.

“Beberapa bulan selepas menjadi Ahli Parlimen (Lembah Pantai), saya ada buat lawatan ke balai-balai untuk mendapatkan pandangan dan melihat sendiri apa yang mereka perlukan kerana janji saya adalah untuk memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Peruntukan (untuk membaik pulih) sudah diluluskan dan sekarang ini di peringkat penelitian akhir sebelum ia dimulakan, dijangkakan dalam sebulan dua lagi.

“Saya sudah hantar pegawai ke lapangan (balai terbabit) untuk berbincang dengan ketua balai untuk tengok apa yang mereka perlukan. Kita beri peluang sendiri kepada mereka (ketua balai) untuk tengok mana yang perlu dibaiki dan kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Iftar mycommunity@care Parlimen Lembah Pantai di Dewan Masjid Bukit Aman, di sini.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai kepada 100 anggota polis dan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) yang menghidap sakit kronik.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, Timbalannya, Datuk Mazlan Mansor serta Pengerusi PERKEP, Datin Seri Norazrin Marzuki.

Sementara itu, Abdul Hamid berterima kasih kepada Fahmi di atas keprihatinan beliau dalam menjaga kebajikan anggota polis khususnya di kawasan Lembah Pantai.

“Bagi pihak PDRM, saya mengucapkan terima kasih kepada YB.

“Melihat sendiri bagaimana beliau turun padang bertemu dengan warga PDRM di balai polis, bertanya khabar dan memberikan sumbangan amatlah dihargai serta jelas menunjukkan keprihatinan beliau terhadap anggota terutama yang menghidap sakit kronik.

“Semoga budi baik beliau akan mendapat balasan daripada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penerima, Sarjan Sani Nayan, 56, bersyukur di atas pemberian sumbangan terbabit yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutama dalam membuat persiapan hari raya.

Beliau yang sudah 33 tahun berkhidmat dengan PDRM berkata, sumbangan itu juga menyuntik semangat serta motivasi kepadanya untuk melawan penyakit jantung yang dihidapi sejak dua tahun lalu.

Berita Harian X