Ahad, 26 Mei 2019 | 3:07pm
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kanan) bersalaman kepada orang ramai ketika hadir pada majlis Makan Malam Pra-Gawai 2019 anjuran Wanita PBB Kakus di Bintulu. - Foto Erika George

Tumpu tingkat pengeluaran hasil tani melalui penggunaan teknologi

BINTULU: Sarawak memberi penumpuan terhadap pembangunan sektor pertanian berteraskan penggunaan teknologi tinggi dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran, nilai komersial dan keupayaan untuk berdaya saing.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata ia ke arah menjadikan sektor pertanian antara industri utama yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri, sekali gus melonjakkan pendapatan komuniti petani, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Dengan daya komersil tinggi, ia diyakini membantu golongan petani kecil-kecilan dan sederhana meningkatkan lagi pendapatan mereka dari semasa ke semasa.

“Ini seterusnya menambahkan pendapatan perkapita mereka ke arah yang lebih baik pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas selepas Majlis Makan Malam Pra-Gawai 2019 anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kakus, di sini semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Bumiputera dan Pembangunan Wilayah, berkata kerajaan negeri juga sedang melaksanakan inisiatif menjadikan Sarawak sebagai negeri pengeksport makanan bersih menjelang 2030.

“Kerajaan Sarawak giat menjalankan kursus pemulihan dan penyelenggaraan durian di negeri ini kerana durian memiliki potensi cukup luas dimajukan, terutama bagi tujuan eksport ke pasaran tempatan atau luar negara,” katanya.

Sepanjang 2019, Sarawak mengeksport 100 tan pes durian ke China dan tahun ini, eksport berkenaan dijangka berkembang kepada 200 tan.

Berita Harian X