Jumaat, 24 Mei 2019 | 3:18pm
Amran menerima penghargaan Anugerah Penderma Bakti Setia daripada Ahli Lembaga Pelawat, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, baru-baru ini. - NSTP/Roselan Ab Malek
Amran menerima penghargaan Anugerah Penderma Bakti Setia daripada Ahli Lembaga Pelawat, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, baru-baru ini. - NSTP/Roselan Ab Malek

Penjawat awam 100 kali derma darah

TEMERLOH: “Pada mulanya saya derma darah kerana ingin bantu adik ipar yang memerlukan darah ketika itu dan saya akui sedikit takut terhadap jarum ketika kali pertama menderma darah,” kata penjawat awam, Amran Ibrahim.

Beliau yang kini berusia 51 tahun, sudah 100 kali menderma darah dan menerima penghargaan Anugerah Penderma Bakti Setia daripada Ahli Lembaga Pelawat, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, baru-baru ini.

“Mula-mula dulu memang rasa takut, sekarang sudah jadi rutin dan perkara biasa... setakat ini saya sudah derma darah 100 kali dan ia dilakukan secara sukarela, bukannya sebab nak anugerah atau penghargaan daripada sesiapa.

“Boleh dikatakan dalam setahun, saya akan derma darah sebanyak empat kali dan bergantung kepada keadaan kesihatan saya... ini sumbangan ikhlas saya dan saya sangat gembira melakukan benda ini kerana secara tidak langsung dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Amran berkata, beliau merasakan lebih sihat dan cergas selepas menjadikan aktiviti menderma darah sebagai rutin sejak berusia 23 tahun.

“Memang ada perubahan, saya rasa lebih cergas dan tidak mengidap sebarang penyakit dan kalau ada yang kata lepas menderma menjadi lebih ‘berisi’ (berat badan meningkat), ia adalah tidak betul sama sekali,” katanya.

Beliau pernah berhenti seketika daripada menderma darah atas nasihat doktor dan sebab tertentu, sebelum kembali aktif menderma darah.

Dalam pada itu, Amran berkata, rutin menderma darah itu kini turut dicontohi isteri dan anak-anaknya.

“Saya akan teruskan rutin ini kerana ia dapat membantu ramai orang (yang memerlukan) dan berharap lebih ramai tampil untuk menjadikan aktiviti menderma darah ini sebagai sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Berita Harian X