X
Jumaat, 24 Mei 2019 | 12:29pm
ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bersama isteri, Hazlina Abdul Razak (dua kiri) serta ibu tunggal menyediakan juadah tradisi masyarakat jawa untuk di berikan kepada adik beradik, saudara mara dan jiran pada Program Yuk Munjung sempena Ramadan di Kampung Kebun. - Foto Roslin Mat Tahir
ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bersama isteri, Hazlina Abdul Razak (dua kiri) serta ibu tunggal menyediakan juadah tradisi masyarakat jawa untuk di berikan kepada adik beradik, saudara mara dan jiran pada Program Yuk Munjung sempena Ramadan di Kampung Kebun. - Foto Roslin Mat Tahir

Teruskan tradisi Yuk Munjung, santuni yang tua

SHAH ALAM: Dalam meniti perubahan masa dan gaya hidup, banyak tradisi dan kebiasaan dalam masyarakat yang semakin dilupakan terutama bagi penduduk di kawasan bandar.

Antaranya tradisi dipanggil ‘Yuk Munjung’ iaitu satu kebiasaan masyarakat Jawa di Selangor apabila juadah yang kebiasaannya dihidangkan pada sambutan Aidilfitri dikongsi dengan saudara yang lebih tua atau individu yang dihormati pemberi, sehari sebelum hari raya.

Menyedari keunikan tradisi berkenaan, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis semalam berkongsi pengalaman menyediakan juadah istimewa Aidilfitri dan berkongsinya dengan 30 keluarga di Kampung Jalan Kebun di sini, semalam.

Wakil rakyatnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata juadah Aidilfitri yang disediakan secara rewang oleh beberapa penduduk sekitar kampung berkenaan termasuk ketupat nasi, rendang serta sambal goreng Jawa yang disediakan melalui program Yuk Munjung, semalam.

Mohd Zawawi berkata, budaya Yuk Munjung diamalkan oleh keluarganya sejak beliau masih kecil dan ia dilakukan pada setiap bulan Ramadan.

“Jika dahulu, kita buat sehari sebelum 1 Syawal jadi orang tua sudah ada makanan untuk dimakan pada hari raya dan tidak perlu bersusah payah untuk memasak.

“Bagaimanapun, zaman sudah berubah dan kita awalkan kepada seminggu sebelum raya. Kalau yang ingin balik kampung, mereka boleh hantar kepada jiran masing-masing sebagai tanda penghargaan dan silaturahim,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Yuk Munjung di sini, semalam.

Beliau berkata, budaya berkenaan masih menjadi amalan komuniti Jawa di kampung berkenaan dan apabila orang yang lebih muda memberikan makanan, mereka akan menyampaikan salam ibu bapa kepada penerima.

Pada program itu, Mohd Zawawi sempat menghantar juadah istimewa itu kepada seorang warga emas yang juga antara penduduk asal kampung berkenaan iaitu Siti Sarah Dollah, 88.

Sementara itu, seorang penduduk, Nor Kayani Kujang, 70, berkata beliau dan rakan-rakan sekampung gembira dapat menjayakan program Yuk Munjung yang diadakan oleh ADUN Sungai Kandis itu.

“Ia adalah budaya yang bagus. Saya gembira dapat membantu membuat ketupat dan memasak juadah yang diberikan kepada penduduk sekitar.

“Ia patut diteruskan pada masa akan datang agar budaya ini tidak dilupakan terutamanya dalam kalangan orang muda,” katanya.

Berita Harian X