Jumaat, 24 Mei 2019 | 11:38am
KAKITANGAN Maggi dan Nestlé Malaysia bergambar kenangan bersama penghuni Rumah Titian Kaseh (RTK) pada jamuan berbuka puasa istimewa, baru-baru ini. - Foto ihsan Maggi
KAKITANGAN Maggi dan Nestlé Malaysia bergambar kenangan bersama penghuni Rumah Titian Kaseh (RTK) pada jamuan berbuka puasa istimewa, baru-baru ini. - Foto ihsan Maggi

Maggi rai lebih 130 penghuni Rumah Titian Kaseh

KUALA LUMPUR: Lebih 130 penghuni Rumah Titian Kaseh (RTK) diraikan dalam jamuan berbuka puasa istimewa anjuran Maggi termasuk menghidangkan bubur lambuk untuk mereka, baru-baru ini.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna, berkata kakitangan daripada Maggi dan Nestlé Malaysia mencurahkan tenaga dan masa mereka untuk inisiatif itu, yang bermula dengan penyediaan bubur lambuk oleh chef Maggi dan pengelola dari RTK.

Katanya, mencerminkan tema Maggi, ‘Sajikan Kelainan’, bubur nasi penuh perisa ini yang secara tradisi diagihkan pada bulan Ramadan, dimasak dengan menggunakan ramuan segar dan rempah untuk menghasilkan sajian yang lazat dan sihat untuk berbuka puasa.

“Bagi membantu membersihkan rumah amal sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, kakitangan Nestlé termasuk pasukan dari Maggi menganjurkan sesi gotong royong. Sukarelawan yang turut menyertai juga mengecat baharu bahagian dinding rumah amal terbabit.

“Usaha memasak dan mengedarkan hidangan bubur lambuk Maggi yang sungguh berkhasiat mencerminkan wawasan ‘Anda dan Maggi Sajikan Kelainan’ untuk mewujudkan impak positif menerusi aktiviti masakan harian. Acara ini telah menjadi acara Ramadan tahunan kami dan kami berbangga untuk berkongsi keceriaan ini bersama Rumah Titian Kaseh pada tahun ini.

“Kami berharap pengalaman ini akan menjadi kenangan istimewa buat mereka dan kami berharap akan terus diberi rezeki dan peluang untuk menceriakan golongan yang memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols, berkata majlis itu amat bagi pihaknya kerana dapat berbuka puasa bersama warga Rumah Titian Kaseh pada bulan Ramadan ini.

“Majlis ini merupakan peluang bagi kami untuk menyumbang kepada masyarakat dan kami amat bersyukur bukan sahaja kerana mengadakan jamuan berbuka puasa di rumah amal ini, tetapi diberikan kesempatan untuk meluangkan masa bersama para penghuninya,” katanya.

Di samping itu, demi memupuk amalan pemakanan yang baik, satu sesi pemakanan interaktif telah dianjurkan untuk kanak-kanak.

Dalam sesi kendalian Pengurus Pemakanan Kategori, Nestlé Malaysia, Nurul Iliani Ahmad, kanak-kanak telah diajar tentang kumpulan makanan dan piramid makanan menerusi permainan yang menyeronokkan.

Sejajar dengan komitmen Nestlé terhadap pemuliharaan alam sekitar, syarikat itu mendidik kanak-kanak di RTK mengenai betapa pentingnya amalan mengitar semula.

Untuk menyemai amalan kitar semula yang efektif, kakitangan Nestlé berganding bahu dengan mereka untuk membuat hiasan rumah yang kreatif bagi menceriakan suasana menggunakan bahan kitar semula, termasuk bahan promosi, kotak kadbod dan botol plastik.

Maggi akan bekerjasama dengan RTK untuk menjual bahan seni dan kraf yang dihasilkan daripada bahan kitar semula di rumah amal terbabit dan hasil jualan bakal disalurkan kepada rumah amal itu.

Sementara itu, pengasas RTK, Sharifah Adlan, berkata pihaknya amat teruja dengan kunjungan pasukan dari Maggi dan Nestlé yang sudi mengadakan aktiviti itu bersama penghuni di situ dan meluangkan masa bersama mereka.

“Majlis ini ternyata merapatkan hubungan silaturahim sesama insan pada bulan puasa dan kami amat menghargainya,” katanya.

Berita Harian X