Selasa, 21 Mei 2019 | 9:00am
HUSAM Musa (tiga kiri) bersama pemilik dan pengusaha Kopi Lojing (kiri) Wan Izzuddin Wan Sulaiman melihat produk kopi ketika majlis makan colek dan pelancaran Kelab Kopi KADA di Lojing Cofee Wakaf Bharu, Tumpat. - Foto Syamsi Suhaimi

KADA rancang jadikan Kelantan pengeluar kopi

TUMPAT: Petani di Kelantan digalakkan menjadikan kopi sebagai tanaman sampingan bagi meningkatkan pendapatan mereka berikutan biji kopi mempunyai permintaan tinggi dan boleh dipasarkan ke seluruh dunia.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa, berkata berikutan itu, pihaknya merancang untuk menyediakan anak pokok kepada petani supaya mereka turut terbabit dalam industri kopi yang kini menjadi ‘trend’ pembangunan ekonomi di seluruh dunia.

Beliau berkata, nilai import negara untuk biji kopi ketika ini agak tinggi dan jika ramai petani terbabit dengan tanaman kopi, sudah tentu mereka pula yang menjadi pengeksport kopi, sekali gus mewujudkan rantaian nilai dalam industri terbabit.

“Bagi tujuan itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) atau Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) selepas Aidilfitri ini yang mungkin boleh membekalkan anak pokok kopi secara percuma sebagai permulaan.

“Kita sudah mempunyai outlet dan pengilang kopi berjaya termasuk dua peserta KADA, namun mereka mendapatkan biji kopi dari luar negara.

“Dengan wujudnya tanaman kopi juga, kita bukan saja dapat membekalkan biji kopi kepada mereka, malah boleh menghasilkan jenama kopi sendiri yang boleh dibangunkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam Program Makan Colek, di sini, malam tadi.

Husam berkata, petani di negeri ini diharap dapat membuka mata dan minda supaya tidak terlepas mengambil peluang daripada industri kopi yang kini semakin berkembang di seluruh dunia.

“Buat masa ini, saya bercadang untuk memberi anak pokok kopi kepada petani yang mempunyai dusun atau kebun. Mereka juga boleh tanam di halaman rumah untuk permulaan sebagai tanaman sampingan.

“Kalau mereka berhasrat untuk membesarkan tanaman berkenaan, maka kita boleh mengadakan perbincangan lanjut kemudian,” katanya.

Berita Harian X