Isnin, 20 Mei 2019 | 4:26pm
PENGASAS Denai Alam Recreational and Riding Club, Terry Teo. - NSTP/Rohanis Shukri

Tunggang kuda, memanah selepas berbuka puasa

SHAH ALAM: Pengunjung yang berbuka puasa di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC) di sini, berpeluang merasai pengalaman menunggang kuda dan memanah selepas waktu berbuka puasa.

Jika pada hari biasa aktiviti di DARC hanya untuk ahlinya sahaja, namun sempena bulan Ramadan, ia dibuka percuma kepada pengunjung yang berbuka puasa di kelab itu.

Pengasas DARC, Terry Teo berkata, pengalaman berbuka puasa dan beriadah di kelab itu adalah istimewa serta tidak akan diperoleh di tempat lain.

“Saya jamin pengunjung terutamanya kanak-kanak pasti gembira. Mereka (kanak-kanak) seronok apabila bukan saja dapat lihat kuda, tetapi mereka berpeluang untuk menunggang kuda.

“Ketika saya kecil, saya teringin untuk menunggang kuda, tetapi tidak mampu. Jadi, saya ingin kanak-kanak serta ibu bapa mereka merasai pengalaman menunggang kuda ketika berkunjung ke DARC.

“Saya boleh katakan semua yang berkunjung ke DARC akan mahu kembali lagi ke sini,” katanya ketika ditemui di DARC, di sini.

Terry berkata, DARC turut menawarkan pelbagai jenis menu berbuka puasa pada harga yang berpatutan dan kelab itu boleh memuatkan 700 orang dalam satu masa.

Sementara itu, seorang pengunjung, Laili Ishak, 41, berkata beliau seronok dapat membawa anak berbuka puasa di DARC kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan.

“Saya tinggal di Banting dan ini kali pertama kami sekeluarga ke sini kerana mengikuti aktiviti berbuka puasa anjuran kelab kereta.

“Tempat ini agak istimewa kerana kita boleh beriadah selepas berbuka puasa. Kalau ditempat lain selepas kita makan, kita akan balik dan anak juga akan cepat bosan.

“Tempat ini amat sesuai untuk mengadakan aktiviti berbuka puasa beramai-ramai terutamanya yang berkeluarga kerana ada hiburan disediakan untuk anak-anak,” katanya.

Berita Harian X