Selasa, 14 Mei 2019 | 10:47am
Kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu serius di utara Sarawak. - Arkib NSTP
Kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu serius di utara Sarawak. - Arkib NSTP

Penguatkuasaan lemah galakkan pembakaran terbuka

MIRI: Kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu serius di utara Sarawak, khususnya di bandaraya Miri, sejak beberapa hari lalu berpunca daripada penguatkuasan yang lemah.

Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong, berkata kebakaran hutan di utara negeri ini berulang setiap tahun, apabila tiba musim kemarau.

Beliau berkata, agensi kerajaan seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepatutnya menguatkuasakan peraturan lebih tegas terhadap mereka yang sengaja melakukan pembakaran terbuka.

“Jika tindakan tidak diambil terhadap mereka yang melakukan pembakaran terbuka masalah berkenaan tidak akan berakhir. Tidak hairanlah masalah pembakaran terbuka sukar dihentikan di Miri.

“Kerajaan perlu lebih tegas menangani isu ini kerana ia menjejaskan tahap kesihatan orang awam yang menghidu asap tebal akibat pembakaran terbuka” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong. - NSTP/Kandau Sidi
Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong. - NSTP/Kandau Sidi

Beliau berkata, kebakaran hutan yang berlaku di kawasan perumahan Vista Perdana dan Senadin berpunca daripada aktiviti pertanian.

Katanya, kebakaran hutan itu boleh dielakkan jika terdapat penguatkuasaan yang tegas, selain sikap bertanggungjawab yang baik di kalangan penduduk di Miri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Law Poh Kiong, berkata pembakaran kerap dilakukan pada waktu malam.

“Trend pembakaran terbuka sejak beberapa hari ini bermula daripada jam 8 malam hingga 10 malam yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat pada jam 11 malam,” katanya.

Bagaimana pun, hujan lebat pagi tadi menyebabkan kebakaran hutan paya gambut di sekitar Miri sudah semakin berkurangan dan api mulai padam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X