Isnin, 13 Mei 2019 | 8:59pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersalaman dengan orang ramai ketika berangkat merasmikan Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersalaman dengan orang ramai ketika berangkat merasmikan Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin berkenan rasmi Masjid Daerah Tapah

TAPAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berkenan berangkat merasmikan Masjid Daerah Tapah yang dibina dengan kos kira-kira RM6 juta.

Baginda pada majlis berkenaan, turut memperkenankan penukaran nama masjid yang mula dibina pada 2012 dan siap pada 3 Mei 2015 itu kepada nama baharu iaitu Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira jam 6.50 petang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengaminkan bacaan doa selepas berkenan merasmikan Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengaminkan bacaan doa selepas berkenan merasmikan Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah. - Foto Muhaizan Yahya

Yang turut hadir menyambut ketibaan baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sultan Nazrin pada majlis itu, turut menyertai bacaan tahlil dan majlis berbuka puasa ringkas sebelum berangkat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Baginda kemudian menghadiri Majlis Santapan dan Jamuan Makan serta turut berkenan menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM140,500 kepada penghulu di empat mukim iaitu Sungkai, Chenderiang, Batang Padang dan Bidor, untuk diserahkan kepada 562 asnaf yang layak.

Pada majlis sama, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid, turut menyampaikan RM25,000 sebagai zakat fisabilillah kepada pihak pengurusan masjid.

Berita Harian X