Jumaat, 10 Mei 2019 | 11:25am
CHE Ahmad Abdul Hamid (tiga dari kiri) sibuk menyediakan bubur lambuk dan air halia menggunakan periuk berusia 200 tahun di Kampung Pulau Timbul,Tunjang, Jitra. - Foto Amran Hamid
CHE Ahmad Abdul Hamid (tiga dari kiri) sibuk menyediakan bubur lambuk dan air halia menggunakan periuk berusia 200 tahun di Kampung Pulau Timbul,Tunjang, Jitra. - Foto Amran Hamid

Menu resipi 200 tahun jadi rebutan

JITRA: Mewarisi resipi 200 tahun, menu air halia dan bubur lambuk yang dimasak oleh seorang warga emas di Kampung Pulau Timbul di sini, sentiasa menjadi rebutan masyarakat setempat semasa bulan Ramadan.

Seawal jam 3 petang sudah ramai yang beratur membawa bekas makanan dan minuman untuk mengambil juadah yang diberikan secara percuma di perkarangan masjid kampung itu.

Tukang masak, Che Ahmad Abdul Hamid, 62, berkata resepi menyediakan hidangan itu diperturunkan dari nenek moyangnya, termasuklah menggunakan kawah dan periuk tembaga yang disimpan sejak turun temurun.

“Kawah dan periuk tembaga ini dipercayai dibawa oleh pedagang India dulu, merekalah yang membawa resipi yang saya masak sekarang.

“Resipi air halia dan bubur lambuk ini disediakan mengikut ramuan yang sama sejak dahulu lagi, ia bertambah sedap apabila menggunakan kawah dan periuk tembaga yang digunakan sejak 200 tahun lalu, saya sendiri masih mengekalkan cara masak secara tradisional termasuklah menggunakan kayu api,” katanya yang sudah 21 tahun mewarisi resipi itu.

Che Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Pakcik Mad berkata, setiap hari dia menggunakan 15 kilogram (kg) beras bagi memasak satu kawah bubur lambuk.

Katanya, sebanyak dua kg halia akan digunakan bagi menyediakan air halia yang akan dicampur dengan beberapa jenis rempah lagi.

“Pedagang dulu selalu minum air halia untuk membantu meningkatkan kecerdasan badan dan membuang angin, ia turut dipercayai dapat melancarkan perjalanan darah dan sistem penghadaman.

“Juadah yang saya sediakan sepanjang Ramadan ini adalah hasil pembiayaan orang perseorangan, saya hanya menjadi tukang masak, setiap hari saya akan menyediakan juadah ini untuk 500 orang.

“Mujurlah beberapa penduduk kampung datang membantu saya memasak selepas solat Zuhur,” kata datuk kepada enam orang cucu ini.

Pak Cik Mad berkata, dia sangat berharap periuk tembaga serta kawah yang diguna dapat bertahan lebih lama dan dapat digunakan oleh anak cucu cicitnya.

Katanya, sehingga kini, anak ketiganya Mohd Ariff, 29, menunjukkan minat untuk mewarisi resipi itu berikutan sering membantunya menyediakan juadah berkenaan.

Berita Harian X