Khamis, 9 Mei 2019 | 1:10pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Jannah Kho

Pintu masuk Sarawak diperketat

KUCHING: Sistem pengenalan wajah dan mesin pengimbas dokumen akan diperluaskan di semua pintu masuk ke negeri ini secara berperingkat bergantung kepada sumber kewangan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kedua-dua sistem terbabit juga sekiranya mampu diperluas akan dilengkapi perisian forensik demi memastikan ancaman keselamatan mampu ditangani secara lebih cekap.

“Pemasangan sistem pengenalan wajah dan mesin pengimbas dokumen dengan dilengkapi perisian forensik setakat ini hanya dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), sejak 2016.

“Jabatan Imigresen juga sedang membangunkan sistem ‘Intelligent Data Profilling’ bertujuan meningkatkan sistem pengumpulan data, termasuk maklumat perisikan yang mampu mengesan kemasukan anasir yang boleh mengancam keselamatan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, berkata kemajuan pembinaan Pos Kawalan Imigresen Ba’kelalan, di Lawas, kini sudah mencapai 78.33 peratus.

“Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak dan Jabatan Imigresen sedang mengenal pasti tapak strategik bagi membina Pos Kawalan Imigresen Telok Melano, Lundu,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah menambah 50 peratus keanggotaan untuk ditugaskan di Pos Kawalan Keselamatan Telok Melano.

“Penambahan kekuatan berkenaan menerusi penempatan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi meningkatkan rondaan di kawasan sempadan sebanyak dua kali ganda kekerapan,” katanya.

Berita Harian X