Selasa, 7 Mei 2019 | 3:35pm

Hujan lebat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sehingga esok

ALOR SETAR: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan lebat akan melanda negeri di kawasan utara Semenanjung bermula hari ini, sehingga esok.

Pengarah Pejabat Meteorologi Pulau Pinang, Ling Leong Kwok, berkata situasi itu berlaku berpunca daripada tiupan angin barat laut yang konsisten, namun ia tidak di tahap membimbangkan.

“Kebiasaannya cuaca hujan lebat akan berlaku pada waktu pagi, sebelum ia berhenti dan kembali hujan. Namun ia bukan hujan lebat yang berterusan.

“Situasi ini dijangak berlaku di tiga negeri di utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang terletak di kawasan tiupan angin barat laut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Leong Kwok berkata, nelayan yang ke laut juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutama mereka yang menggunakan bot kecil.

Semalam, MetMalaysia mengeluarkan notis amaran cuaca peringkat waspada (kuning) berikutan jangkaan hujan lebat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bermula hari ini hingga esok.

Di peringkat waspada, cuaca diramal mengalami hujan lebat berterusan dalam tempoh satu hingga tiga hari atau hujan berterusan dijangka berlaku, tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.

Peringkat amaran hujan lebat terbahagi kepada tiga iaitu waspada (kuning), buruk (jingga) dan bahaya (merah).

Berita Harian X