X
Selasa, 7 Mei 2019 | 10:28am
MUSTAFHA Kamal Varisai Mohamad (kiri) memasak bubur lambuk kambing sebagai juadah istimewa berbuka puasa di Masjid India Muslim, Jalan Seenivasagam.
MUSTAFHA Kamal Varisai Mohamad (kiri) memasak bubur lambuk kambing sebagai juadah istimewa berbuka puasa di Masjid India Muslim, Jalan Seenivasagam.

Masjid India Muslim sediakan juadah istimewa bubur lambuk kambing

IPOH: Pada setiap Ramadan, menjadi rutin harian Mustafha Kamal Varisai Mohamad, 74, untuk memasak bubur lambuk kambing sebagai juadah istimewa berbuka puasa di Masjid India Muslim, Jalan Seenivasagam, di sini, sejak 15 tahun lalu.

Mustafha Kamal berkata, beliau bersama pembantu tukang masak, Jamal Muhamad Shaik Daud, 47, akan memulakan aktiviti menyediakan tujuh periuk bubur berkenaan dari seawal jam 11 pagi.

“Kos menyediakan tujuh periuk bubur lambuk ialah kira-kira RM600 sehari. Saya menggunakan kira-kira 80 kilogram (kg) beras untuk masakan itu setiap hari.

“Bagi setiap periuk, saya memasukkan 3kg daging kambing dan bahan lain seperti daun pudina, ketumbar dan daun pandan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau yang berasal dari Kedah berkata, bubur lambuk itu akan diedarkan kepada kira-kira 1,500 orang bermula jam 4.45 petang sepanjang Ramadan.

“Lebih 75 peratus daripada mereka yang mengambil juadah diedarkan adalah orang Melayu dan mereka cukup menggemari bubur lambuk kambing ini,” katanya.

Setakat ini, Mustafha Kamal berkata, hanya beliau dan pembantunya bergembleng tenaga memasak bubur lambuk berkenaan di dapur terletak di bahagian belakang masjid terbabit.

“Alhamdulillah pada usia begini, saya masih kuat untuk memasak. Malah, saya akan terus memasak untuk masjid itu selagi khidmat diperlukan.

“Setakat ini, biarlah kami berdua saja yang memasak kerana jika terlalu ramai, dikhuatiri mempengaruhi rasa bubur lambuk itu nanti, ” katanya.

Berita Harian X