Isnin, 6 Mei 2019 | 12:23pm
Amar Douglas (tiga kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus sarung tradisional Iban sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Betong , Datuk Robert Lawson Chuat (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu (dua kanan) pada majlis makan malam Pra Gawai Dayak Persatuan Ketua-Ketua Rumah Panjang Daerah Kecil Spaoh. - Foto Melvin Joni.

Penduduk luar bandar digalak ceburi pertanian moden

BETONG: Sebuah tapak tanaman fertigasi akan dibangunkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, di sini, bagi mendedahkan penduduk di kawasan sekitarnya dengan kaedah pertanian moden itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu bertujuan menggalakkan penduduk luar bandar menceburi pertanian moden yang mampu menyumbang pendapatan tinggi kepada mereka.

Beliau berkata, pertanian moden berasaskan teknologi semakin berkembang dan harus dimanfaatkan petani di Sarawak kerana ia boleh membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Kita ada potensi besar untuk membangunkan pertanian moden ini kerana masih memiliki banyak tanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pra Gawai Dayak Persatuan Ketua-Ketua Rumah Panjang Daerah Kecil Spaoh, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, antara aktiviti pertanian moden yang berpotensi diceburi petani di negeri ini ialah penanaman pisang, kelapa, nanas, durian dan jagung, selain penternakan.

Beliau berkata, pembabitan lebih ramai masyarakat luar bandar dalam pertanian moden amat perlu bagi merealisasikan rancangan kerajaan negeri untuk menjadi pengeksport produk makanan menjelang 2030.

“Oleh itu, kerajaan negeri merancang membina landasan kapal terbang di Betong untuk mengangkut hasil pertanian dan mengeksportnya.

“Bagaimanapun, ia bergantung sepenuhnya pada pembabitan petani untuk mengeluarkan hasil pertanian mencukupi yang bukan saja dapat menyumbang perkembangan ekonomi negeri tetapi juga meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Berita Harian X