Sabtu, 4 Mei 2019 | 3:43pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen (tengah) bergambar bersama pelajar sempena Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Sarawak(Unimas), Kota Samarahan. - Foto Norsyazwani Nasri
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen (tengah) bergambar bersama pelajar sempena Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Sarawak(Unimas), Kota Samarahan. - Foto Norsyazwani Nasri

Penuntut hantar wang PTPTN kepada ibu bapa

KOTA SAMARAHAN: Ramai penuntut dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mengirimkan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada ibu bapa.

Justeru, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, berkata pihaknya melaksanakan Program Food Bank Siswa bagi memastikan penuntut dari keluarga B40 dibekalkan makanan agar tidak menganggu pengajian mereka.

“Menerusi Program Food Bank Siswa, kita mengagihkan makanan sumbangan pemborong dan peruncit yang masih boleh dimakan kepada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dari keluarga golongan B40.

“Kita dimaklumkan, ramai pelajar dari keluarga B40 walaupun menerima wang daripada PTPTN, namun mereka tidak membelanjakan wang berkenaan untuk makan minum, sebaliknya mengirim wang terbabit untuk kegunaan ibu bapa mereka,” katanya selepas menghadiri Pelancaran Program Food Bank Siswa Unimas di Kampus UNIMAS, di sini, semalam.

Kira-kira 42.5 peratus atau 6,800 penuntut di Universiti Malaysia Sarawak, layak menerima bantuan menerusi Program Food Bank Siswa.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sarawak, Datuk Stanley Tan.

Katanya, lebih banyak peruncit, pemborong, pasar raya dan pasar raya besar di Sarawak patut menyertai program itu.

“Setakat ini kita hanya memberikan makanan kering kepada pelajar menerusi program ini. Jika peruncit tidak mahu menjual dan mahu membuang makanan kering itu, lebih baik memberinya untuk program ini,” katanya.

Beliau berkata, Program Food Bank Siswa terbabit akan dikendalikan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UNIMAS dan dan Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS.

Berita Harian X