Jumaat, 3 Mei 2019 | 3:19pm
DOUGLAS Uggah

Peruntukan RM18 juta tingkatkan pengeluaran durian Musang King

SERIAN: Sebanyak RM18 juta diperuntukkan tahun ini khusus bagi mempertingkatkan pengeluaran durian Musang King di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah, berkata ia adalah antara inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mempelbagaikan pendapatan pertanian tanpa bergantung sepenuhnya kepada komoditi getah, kelapa sawit dan lada.

“Tanaman komoditi berkenaan terdedah nilai harga yang naik turun dalam pasaran. Justeru, kita akan memberi perhatian untuk membangunkan durian Musang King.

“Selain itu, tanaman seperti pisang dan kelapa akan terus diperkasakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Kursus Penanaman Pokok Durian Musang King di Dewan Masyarakat Kampung Pichin, di sini, semalam.

Seramai 600 peserta terdiri daripada petani tempatan menghadiri kursus sehari itu yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Yang turut hadir, Pengarah FAMA Sarawak, Shahid Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, permintaan terhadap durian Musang King dari negeri ini adalah tinggi, terutama daripada China.

“Melalui syarikat Top Fruit Sdn Bhd, negeri ini berjaya mengeksport 30 tan pes durian ke China pada tahun lalu dan sebanyak 100 tan tahun ini.

“Kita juga dalam usaha mempelbagaikan industri durian Musang King kerana sambutan amat menggalakkan dan harga pasaran adalah kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak dalam proses membaik pulih bangunan Jabatan Pertanian di Tarat sebagai pusat pemungutan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) durian serta buah-buahan bermusim lain, membabitkan kos RM1.8 juta.

“FAMA turut mengambil inisiatif menubuhkan CPPC bernilai RM600,000 untuk durian di Kota Samarahan,” katanya.

Berita Harian X