Sabtu, 27 April 2019 | 5:21pm
AHMAD Amzad cedera selepas terjatuh dari benteng pemecah ombak ketika memanjat batu di tebing muara Sungai Terengganu berhampiran projek Jambatan Angkat Kuala Terengganu (KT drawbridge). - Foto ihsan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu
AHMAD Amzad cedera selepas terjatuh dari benteng pemecah ombak ketika memanjat batu di tebing muara Sungai Terengganu berhampiran projek Jambatan Angkat Kuala Terengganu (KT drawbridge). - Foto ihsan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu

Ahli Parlimen Kuala Terengganu cedera jatuh benteng

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, cedera selepas terjatuh dari benteng pemecah ombak ketika memanjat batu di tebing muara Sungai Terengganu berhampiran projek Jambatan Angkat Kuala Terengganu (KT drawbridge).

Ahmad Amzad, ketika itu hadir untuk melihat enam bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana menangkap ikan di perairan negeri ini dibawa masuk ke jeti agensi terbabit kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Beliau dikatakan gagal mengimbangi badannya apabila secara tiba-tiba jari kakinya sakit disebabkan penyakit gout yang dialaminya.

Beberapa pegawai dari Pejabat Parlimen Kuala Terengganu yang turut mengiringi Ahmad Amzad sempat memberi rawatan termasuk memulihkannya daripada pengsan.

Ahmad Amzad berkata kejadian berlaku ketika beliau ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri kesukaran dialami Maritim Malaysia untuk membawa kapal termasuk bot nelayan asing bersaiz tinggi memasuki muara disebabkan halangan pada jambatan angkat atau ‘drawbridge’, terutamanya ketika air laut pasang.

“Ketika sedang memanjat batu untuk naik ke atas benteng pemecah ombak bagi melihat dengan jelas enam bot terbabit dibawa masuk ke jeti, tiba-tiba jari kaki sakit menyebabkan saya gagal mengimbangi badan dan terjatuh.

“Saya hanya mengalami kecederaan di muka serta tangan dan dirawat isteri, Dr Nur Diana Ahmad Takri, selepas pulang ke rumah sebelum ke ibu pejabat Maritim Malaysia untuk berjumpa dengan pegawai serta anggota penguatkuasa pasukan itu ,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Amzad berkata sepatutnya enam bot nelayan asing bersama 64 orang awak-awak yang ditahan ketika sedang menangkap ikan berhampiran pelantar minyak di perairan negeri ini semalam dibawa masuk awal pagi tadi ke jeti Maritim Malaysia di Pulau Kambing.

Bagaimanapun, katanya, bot termasuk kapal KM Pekan milik Maritim Malaysia terpaksa berlabuh di luar muara untuk menunggu air laut surut kerana halangan pada jambatan angkat berikutan ketinggian kapal.

Berita Harian X