Khamis, 25 April 2019 | 7:45pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
PENGERUSI Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

LRA Simpang Renggam ditutup kembali

SIMPANG RENGGAM: Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) hari ini menghentikan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam berikutan kualiti sumber air mentahnya merosot akibat pencemaran ammonia.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata awalnya LRA Simpang Renggam kembali beroperasi pada jam 11 malam tadi, selepas paras ammonia menurun dan disahkan selamat.

“Bagaimanapun, selepas hampir 12 jam loji ini beroperasi semula, operasi sekali lagi dihentikan pada jam 11 pagi ini mendapati kandungan ammonia meningkat kepada 6.2 partikel per sejuta (PPM).

“Bacaan terbaru pada jam 12 tengah hari tadi, kandungan ammonia di loji berkenaan turun sedikit kepada 5.8 PPM dan keadaan ini akan dipantau setiap jam sebelum air dapat diproses dan diagihkan kepada penduduk daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan bersama Ranhill SAJ di Taman Renggam Jaya, di sini, hari ini.

Semalam, kira-kira 23,000 pemegang akaun bekalan air terawat di Simpang Renggam dan Pontian Utara terjejas bekalan berikutan penutupan LRA Simpang Renggam yang terpaksa ditutup akibat pencemaran ammonia.

Ia berikutan benteng menakung air lecet di Pusat Pelupusan Sampah di Ladang CEP 1 Renggam pecah kerana hujan lebat.

Sementara itu, Puah berkata, sebanyak 30 lori tangki milik Ranhill SAJ di seluruh negeri termasuk agensi swasta digerakkan untuk membuat agihan air, terutama ke kawasan terjejas dan fasiliti kerajaan seperti klinik kesihatan serta sekolah.

Katanya, lori tangki ini akan berada dalam kawasan terjejas sehingga bekalan kembali pulih dengan setiap satu boleh menampung sehingga 9,000 liter dan digunakan oleh kira-kira 30 keluarga.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, akan memaklumkan langkah diambil bagi mengatasi masalah itu yang dipercayai berpunca dari Tapak Pelupusan Sampah CEP 1 Renggam.

“Walaupun kerajaan negeri ada langkah penyelesaian menyeluruh bagi mengelak masalah ini berulang, pastinya ia akan memakan masa dan membabitkan kos besar.

“Saya harap kita tunggu pengumuman menteri besar kelak,” katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Renggam Jaya, Ramli Yusof, 59, berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan segera isu bekalan air kerana masalah itu semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Saya tinggal di sini sejak 10 tahun lalu dan sebelum ini memang selalu ada masalah air di kawasan ini, namun kebanyakannya tidak lama dan air akan dibekalkan semula tidak sampai 24 jam berbanding kali ini hampir dua hari kami tiada air,” katanya.

Berita Harian X