Rabu, 24 April 2019 | 11:17am
MENARA Teruntum setinggi 180 meter dijangka siap Julai depan menjadi produk terbaharu daerah ini. - Foto Mohd Rafi Mamat.
MENARA Teruntum setinggi 180 meter dijangka siap Julai depan menjadi produk terbaharu daerah ini. - Foto Mohd Rafi Mamat.

Menara Teruntum tarikan bertaraf antarabangsa

KUANTAN: Menara Teruntum dengan ketinggian 180 meter bakal menjadi produk pelancongan terbaharu bertaraf antarabangsa di bandar ini.

Dengan kos keseluruhan kira-kira RM40 juta, pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar Kuantan di kedudukan tinggi sambil melihat panorama Sungai Kuantan yang juga antara nadi ekonomi negeri.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam, Korporat, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal, berkata pembinaan menara terbabit dikendalikan Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan negeri.

’Setakat ini kerja pembinaan menara itu mencapai 85 peratus dan dijangka siap menjelang bulan Julai ini dan selepas memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib, ia akan dibuka kepada orang ramai.

“Menara Teruntum adalah menara tertinggi di Pantai Timur Semenanjung dan akan meletakkan daerah ini dalam peta pelancongan terbaharu negeri ini serta negara, ” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya Menara Teruntum sebagai mercu tanda terbaharu di Pahang, sudah pasti dapat menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke negeri ini dan daerah Kuantan.

Norkamawati berkata, produk berkenaan juga dijangka dapat menggerakkan ekonomi setempat termasuk pengusaha makanan dan penginapan, selain menyediakan peluang pekerjaan.

“MPK akan menghidupkan semula Kuantan River Front dan Kuantan River Cruise memandangkan Menara Teruntum akan menjadi tarikan pengunjung, dan pengunjung juga berpeluang menikmati pemandangan di sepanjang Sungai Kuantan menggunakan dua perkhidmatan itu kelak.

“Selain itu kita juga akan mewujudkan ‘historical trail’ atau jejak sejarah di sepanjang Kuantan Esplanade,” katanya yang berharap masyarakat setempat dapat merebut peluang perniagaan yang disediakan.

Berita Harian X