Selasa, 23 April 2019 | 7:56am
PENGURUS Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar melepaskan peserta Sungai Pandan Waterfall Fun Run di Kuantan, semalam. - Foto Mohd Rafi Mamat
PENGURUS Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar melepaskan peserta Sungai Pandan Waterfall Fun Run di Kuantan, semalam. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pantau peserta larian, tingkatkan keselamatan

KUANTAN: Penganjur larian membabitkan kawasan hutan lipur di negeri ini perlu mengambil langkah keselamatan bagi memastikan tidak berlaku kes kemalangan dan kehilangan peserta.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar, berkata pihak penganjur perlu menyediakan petugas mencukupi bagi memantau pergerakan peserta sepanjang laluan, terutama di kawasan berbahaya seperti bukit dan hutan.

Katanya, usaha memperkenalkan tempat menarik tidak akan menjadi kenyataan jika berlaku perkara tidak diingini kepada peserta program.

“Penganjur perlu mendapatkan nasihat dan cadangan pihak berkuasa selain masyarakat setempat yang lebih memahami persekitaran kampung mereka.

“Walaupun kes kehilangan peserta larian dalam hutan tidak berlaku di negeri ini, langkah awal perlu diambil bagi mengelak ia berlaku,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Pelepasan Peserta Sungai Pandan Waterfall Fun Run di sini, semalam.

Program julung kali itu menghimpunkan 230 peserta yang perlu berlari sejauh lima kilometer (km) melalui denai air, jambatan gantung dan laluan pinggir hutan.

Ishak berkata, kejadian kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail bulan lalu yang belum ditemui sehingga kini harus menjadi pengajaran kepada penganjur supaya memberi perhatian serius terhadap keselamatan peserta.

Berita Harian X