Khamis, 18 April 2019 | 2:55pm
MD Ysahrudin Kusni (dua dari kiri) diiringi Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Indera Nor Akhirrudin Mahmud (tiga dari kanan) melawat tapak pameran biologi hutan selepas Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Paya Gambut di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam, Muar. - Foto Adi Safri
MD Ysahrudin Kusni (dua dari kiri) diiringi Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Indera Nor Akhirrudin Mahmud (tiga dari kanan) melawat tapak pameran biologi hutan selepas Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Paya Gambut di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam, Muar. - Foto Adi Safri

Kerajaan Johor komited pulihara hutan simpan kekal, tanah berhutan

MUAR: Kerajaan negeri komited memastikan Johor memiliki hutan simpan kekal (HSK) dan tanah berhutan yang mencukupi untuk faedah rakyat, selari komitmen Kerajaan Persekutuan dan antarabangsa.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata kerajaan negeri juga amat berpuas hati dengan usaha Jabatan Perhutanan Johor mengurus dan memulihara HSK.

Setakat ini, beliau berkata, Johor memiliki HSK seluas 332,749 hektar atau 17.36 peratus daripada keluasan tanah negeri, manakala 447,753 hektar atau 23.36 peratus adalah tanah berhutan.

“Hutan menyimpan kekayaan khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai. Namun disebabkan pengetahuan masih sedikit, kita kurang menyedari dan menghargainya secara bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Paya Gambut, Ayer Hitam Utara di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Burhanuddin Arshad; Pengarah Perhutanan Johor, Datuk Jeffri Abd Rasid; dan ketua ekspedisi itu yang juga Pensyarah Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Hazandy Abdul Hamid.

Dr Sahruddin berkata, beliau berharap ekspedisi saintifik seperti itu mencapai objektif ditetapkan, selain melaporkan penemuan baharu yang berfaedah untuk dijadikan landasan kerajaan negeri memastikan kawasan hutan di negeri ini diurus dan dibangunkan dengan lebih cekap.

Beliau berkata, pemilihan Hutan Taman Negeri Paya Gambut sebagai tapak ekspedisi saintifik kali ini diharap dapat menerokai segala keunikan dan keistimewaan kepelbagaian khazanah biologi yang masih tersimpan di kawasan itu.

“Lebih-lebih lagi, saya difahamkan Hutan Taman Negeri Paya Gambut ada dua jenis hutan berbeza, iaitu jenis dipterokarpa tanah pamah dan hutan paya gambut yang semestinya memberikan gambaran sebuah hutan cukup unik serta menarik untuk diterokai.

“Johor amat bertuah memiliki kawasan hutan hujan tropika yang kaya dengan keunikan landskap dan ekosistemnya yang mewujudkan kepelbagaian khazanah biologi yang tidak ternilai kepada negara.

“Khazanah hutan di negeri ini juga menyumbang pelbagai faedah lain tidak ternilai seperti pemeliharaan tanah-tanih, punca bekalan air bersih, pemuliharaan kestabilan alam sekitar dan kewujudan kawasan rekreasi ekopelancongan,” katanya.

Berita Harian X