Sabtu, 13 April 2019 | 8:52pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ditemui media semasa hadir merasmikan Kempen Pemilikan Rumah - Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 di SP Arena, Seberang Jaya. - Foto Danial Saad
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ditemui media semasa hadir merasmikan Kempen Pemilikan Rumah - Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 di SP Arena, Seberang Jaya. - Foto Danial Saad

Tidak akan tergesa-gesa tambak laut - Kon Yeow

SEBERANG JAYA: Kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa melaksanakan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata selepas semua laporan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), SRS Konsortium selaku pihak pemaju masih perlu menyelesaikan pelbagai isu lain berkaitan.

“Selepas dibentangkan kepada MPFN, pemaju perlu melihat isu lain pula seperti teknikal dan kewangan.

“Pelaksanaan PSR tetap mengambil masa dan tidak akan dilakukan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Milik Rumah Sendiri 2019 Sempena Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pada mesyuarat MPFN yang dijadualkan pada 18 April ini, kerajaan negeri akan membentangkan semua laporan teknikal lengkap seperti Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Laporan Analisis Risiko Marin, Kajian Hidraulik, Kajian Impak Perikanan, Kajian Impak Trafik dan Kajian Impak Sosial bagi cadangan PSR.

Beliau berkata, pembentangan itu adalah sebagai makluman kepada MPFN, selain kerajaan negeri perlu melaksanakan nasihat pihak berkenaan.

“Ia dibentangkan untuk perhatian MPFN. Selepas mesyuarat itu, jika tiada halangan, maknanya kita akan teruskan (PSR).

“Pembentangan itu juga perlu supaya MPFN dapat menasihati kita seperti langkah dan cadangan perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah pihak yang terbabit PSR,” katanya.

Projek PSR dirangka Kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai kos PIP dianggarkan bernilai RM49 bilion bagi membendung masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Pelaksanaan PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar, yang dijangka menyaingi Marina Bay di Singapura.

Berita Harian X